Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tahun Baru 2009

Dua hari yang lepas, kita baru saja menyambut Maal Hijrah Tahun baru Islam 1340 Hijriah, pada hari ini pula, kita menyambut tahun baru masehi iaitu Tahun 2009. Kesempatan ini, saya mengucapkan kepada semua ahli-ahli koperasi amnya dan ahli-hli pesara khasnya, selamat menyambut tahun baru 2009. Dengan ketibaan tahun 2009 bererti usia kita juga telah meningkat tahun ke tahun tanpa kita minta tapi ia akan datang sama ada kita mahu ataupun tidak, ia pasti akan datang.
Apabila peningkatan usia bertambah, apakah kita pernah memikirkan sepanjang usia yang kita lalui adakah ia diisi dengan amalan-amalan yang dituntut sebagai bekalan di akhirat nanti atau adakah ia diisi dengan ilmu yang manfaat atau adakah ia berlalu begitu sahaja. Ini yang perlu difikir-fikirkan. Tidak guna hidup selama mana pun walau seribu tahun, tetapi tidak mempunyai amalan.
Oleh itu, sempena tahun baru ini, kita harus menanam satu keazaman untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. Insya Allah.

Monday, December 29, 2008

Selamat Menyambut Awal Muharram 1430 Hijriah

Sempena ketibaan tahun baru Islam yang jatuh pada hari isnin bersamaan 29 Disember 2008, saya sebagai Pengerusi KPPK (Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan) mengucapkan selamat menyambut Awal Muharram 1430 hijriah kepada semua Ahli Lembaga dan juga Ahli-Ahli Koperasi, semoga dengan kedatangan tahun baru ini akan memberikan satu inspirasi kepada koperasi untuk berusaha dengan lebih gigih lagi bagi meningkat tahap ekonomi kita dengan cemerlang.

Kedatangan tahun baru islam ini juga adalah untuk menutup buku lama dan membuka lembaran buku baru untuk kita meningkatkan amalan sejajar dengan tuntutan agama itu sendiri. Selamat menyambut Maal Hijrah tahun 1430 H

Saturday, December 20, 2008

Kursus Menganalisis Prestasi Koperasi


Seramai 3 orang ALK dan seorang Ahli Biasa telah mengikuti Kursus di atas selama tiga hari di MKM bermula 15 - 17 Disember 2008. Mereka adalah


1. Hj. Ahmd Rusli bin Hj. Ibrahim - ALK

2. Mohamad bin Maon -ALK

3. Mohd. Nor bin Zakaria - ALK

4. Kamarulzaman bin Ahmad - Ahli biasa


Kursus ini amat berguna kepada ahli-ahli koperasi kerana dapat


1. Memahami indikator yang sesuai digunakan bagi menganalisis prestasi koperasi

2. Mengenalpasti maklumat dan data yang diperlukan untuk membuat analisis

3. Menggunakan kaedah analisis bagi menilai prestasi kewangan dan sosial kewangan.

Thursday, December 11, 2008

Sasaran 31 Disember 2008

Dari meja Pengerusi KPPK

1. Semenjak Koperasi ini diluluskan pendaftarannya pada 10 Jun 2008, kini koperasi telah beroperasi selama 6 bulan. Sepanjang tempoh tersebut, koperasi mengalami perubahan kepimpinan, dimana Tuan Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada 16 Ogos 2008 atas sebab-sebab teknikal. Jawatan tersebut telah diambil alih oleh Encik Mohamad bin Maon didalam mesyuarat ALK pada tarikh berkenaan.Koperasi juga telah bermesyuarat sebanyak 8 kali. Kekerapan mesyuarat di keranakan banyak terdapat aktiviti yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum koperasi boleh beroperasi sepenuhnya.

2. Bagi menggerakkan sesebuah koperasi atau apa sahaja, sama ada pertubuhan atau organisasi ia memerlukan kewangan, tanpa kewangan sesuatu pertubuhan atau organisasi mahu pun koperasi tidak akan dapat digerakkan. Oleh itu, yuran dan fi masuk perlu dijelaskan kepada koperasi sebagai pengesahan setiap ahli yang menyertai koperasi dapat dibuat. Bayaran yang dikenakan kepada setiap anggota yang memohon menjadi ahli sebanyak RM110.00 sahaja iaitu RM10 untuk fi masuk dan RM100 bagi bayaran yuran. Bayaran ini adalah sekali seumur hidup. tidak ada bayaran potongan bulanan atau bayaran yang tersembunyi. Jika koperasi mempunyai keuntungan bisnes, dividen akan dibayar berasaskan simpanan terakhir genap tempoh setahun.

3. Kepada semua anggota samada yang masih berkhidmat ataupun sudah bersara adalah digalakkan untuk mendaftar menjadi ahli sebelum 31 Disember 2008. Sayugia diingatkan, ketika ALK membuat 'road show' di Kelantan dan juga di Pulau Pinang, ahli yang diluar anggota keselamatan ramai yang berminat untuk menyertai koperasi ini, tetapi malangnya kita tidak menerima dan tidak membuka keahlian kepada mereka. Mereka ini nampak dengan jelas bahawa koperasi mempunyai potensi yang cerah dan membawa keuntungan kepada ahli-ahli dan juga koperasi akan mengwujudkan dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan.
4. Sekian dan harap maklum, terima kasih

Saturday, December 06, 2008

ALK Hadiri Kursus di Pulau Pinang

Seramai 4 orang ALK dan 2 orang ahli koperasi telah menghadiri satu bengkel 'Manual Prosedur Kerja (MPK)' anjuran MKM di Hotel Sri Malaysia Pulau Pinang selama 3 hari bermula pada 1 - 3 Disember 2008. ALK tersebut adalah Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim, Mohamad bin Maon, Hj. Ibrahim bin Mohamed dan Mohd. Noor bin Zakaria. Ahli koperasi ialah Kamarulzaman bin Ahmad dan Nur Hanisah bt. Mohamad. Didalam kursus tersebut, peserta telah di ajar untuk menyediakan MPK dan di akhir kursus dan juga bengkel, peserta dikehendaki menyediakan prosedur tersebut dan membuat 'presentation' secara kumpulan. Kursus ini amat berguna kepada semua ALK kerana setiap koperasi dikehendaki menyediakan MPK sebagai satu prosedur untuk diamalkan.

Tuesday, November 25, 2008

Gambar Ahli Lembaga Koperasi


Gambar ALK selepas mengadakan mesyuarat pada 15 November 2008 di Cititel Mid Valley Kuala Lumpur. Barisan hadapan duduk dari kiri Hj. Mohd. Bakri Mohd. Zahir (Bendahari), Hj. Ahmad Rusli Hj. Ibrahim (Penasihat), Mohamad Maon (Pengerusi), Hj. Ibrahim Mohamed (Setiausaha), Normah Hj. Sarkawi (ALK). Barisan belakang berdiri dari kiri Tan Baba (ALK), Mohd. Noor Zakaria (ALK), Hamzah Redza (JAD), Halim Ishak (ALK), Kamarulzaman Ahmad (Pemerhati/Ahli) dan Hussin Hj Abdul Rahman (ALK). Tiada dalam gambar ialah Hj. Ahmad Nasir Abdul Rahim (ALK), Shahruddin Abdullah Sani (ALK), Hj. Sufian bin Ibrahim (JAD) dan Zubir bin Daharun (JAD).

Friday, November 21, 2008

Menziarahi Bekas KGN Encik Ainuddin Lote




Pada 19 November 2008, sempena ALK menghadiri kursus Keusahawanan di Kota Bharu, satu lawatan ke rumah bekas KGN Encik Ainuddin Lote di Lot 58, Taman Bakti, Simpang Tiga, Pengkalan Chepa, 16100 Kota Bharu Kelantan. Lawatan tersebut bersama Encik Ramli Hussin KGN Kelantan adalah untuk mewujudkan kembali silaturahim yang terputus sepanjang persaraan beliau selama 16 tahun. Walaupun beliau kini sudah berusia 71 tahun, beliau tetap tabah untuk menjaga isteri beliau yang sedang uzur sakit jantung. Lawatan tersebut juga dapat mengimbas kembali kenangan lalu, ketika beliau sama-sama berkhidmat didalam perkhidmatan Keselamatan satu ketika dahulu. Diakhir pertemuan, sdr. Mohamad Maon Pengerusi Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan telah menghulurkan sedikit sumbangan dari ahli ALK buat beliau. Insya'Allah jika ada kesempatan diwaktu yang lain kami akan datang menziarahi beliau dan juga ahli-ahli pesara yang lain.

Kursus Keusahawan di Kota Bharu Kelantan





Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) telah menganjurkan kursus Keusahawanan di Kota Bharu Kelantan selama 3 hari bermula 18 - 20 November 2008 di Hotel Dynasty Inn. Seramai 9 orang ahli koperasi Pekerja & Pesara Keselamatan TNB telah turut serta seperti nama berikut:-

1. Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim

2. Mohamad bin Maon

3. Hj. Ibrahim bin Mohamed

4. Mohd. Noor bin Zakaria

5. Hamzah bin Redza

6. Kamarulzaman bin Ahmad

7. Normah bt. Sarkawi

8. Zaikhalidah bt. Khalid

9. Jumaiah bt. Muzir



Saturday, November 15, 2008

Mesyuarat ALK ke 8 di Cititel Mid Valley

ALK telah mengadakan mesyuarat kali ke 8 sepanjang tahun ini bagi mengisi agenda dan program bagi tujuan pelaksanaan apabila memasuki tahun 2009. Mesyuarat tersebut telah diadakan di Cititel Mid Valley Kuala Lumpur pada 15 November 2008. Tempat mesyuarat serta jamuan adalah tajaan ALK iaitu Tuan Halim Ishak. Majlis merakamkan terima kasih atas sumbangan dan tajaan dari beliau. Sebelum mesyuarat diadakan, terlebih dahulu diadakan dua sesi taklimat dari syarikat Sensorlink dan Unik Srasi Enterprise. Taklimat tersebut untuk mendapat gambaran secara jelas, aktiviti-aktiviti yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi sebelum sesuatu projek dilaksanakan. Didalam mesyuarat itu juga beberapa perkara dan cadangan telah diterima dan satu kajian terperinci perlu dibuat samada program dan rancangan tersebut akan memberi faedah kepada koperasi atau sebaliknya. Begitu juga atas cadangan untuk menubuhkan anak syarikat milik penuh koperasi.


Wednesday, November 12, 2008

SEMINAR ANJURAN MKM

Sdra Mohamad Maon, Hj. Ibrahim dan Mohd Noor sedang tekun mendengar ceramah yang disampaikan


Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) telah menganjurkan seminar 'Perniagaan Melalui Internet dalam Gerakan Koperasi' di PJ Hilton selama 2 hari bermula 11 & 12 November 2008 yang dirasmikan oleh YB Dato' Noh Omar Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Seramai lebih 400 orang ahli koperasi dari semua peringkat telah hadir didalam seminar tersebut. Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB telah diwakili oleh Sdra Mohamad Maon, Ibrahim Mohamed, Mohd. Noor Zakaria dan Kamarulzaman Ahmad. Hj. Ahmad Rusli, Tan Baba dan Hamzah Redza tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan urusan peribadi. Seminar 2 hari itu, beberapa kertas kerja telah dibentang diantaranya:
1. Konsep dan prospek perniagaan di internet oleh Encik Osman Affan dari Creative Question Enterprise
2. Isu dan cabaran perniagaan di internet oleh Encik Amir Syukri dari MangkukTingkat.com
3. Strategi-strategi pemasaran perniagaan melalui internet oleh Mohd. Fuad Abd. latip dari UiTM
4. Online banking untuk perniagaan di internet oleh Hj. Mohd. Saufi Salji dari CIMB
5. Peraturan, keselamatan dan undang-undang perniagaan di internet oleh Puan Kaflina dari Suruhanjaya Komukasi & Multimedia M'sia dan Encik Arunan Kumaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal pengguna
6. Forum: Faktor-faktor kejayaan perniagaan melalui internet
Ahli-ahli Penal terdiri daripada
1. Encik Zulkifli bin Harun dari Hewlett-Packard
2. Encik Aliakbar bin Mohd. Nor dari Koperasi Pelancongan Pulau Pinang M'sia (KOPEL)
3. Encik Kamari bin Soim dari Sabak Agro - eBazar

Khemah Ibadah






Pada 7 - 9 November 2008 Darul Ikhlasiah yang mempunyai 4 usrah iaitu Usrah An-Nur TNB, Usrah Bangi, Usrah Subang dan Usrah Taman Bunga Raya (Subur) telah mengadakan satu khemah ibadah yang mana khemah ibadah ke 13 telah dikelolakan oleh Usrah An-Nur TNB. Khemah ibadah yang bertemakan 'Kerohanian' telah diadakan di Kem El-Azzahar Morib Selangor. Seramai 100 ahli yang terdiri daripada muslimin dan muslimat dari 4 usrah telah mengikuti Khemah ibadah ini. Sebagai pengelola kepada khemah ibadah ini, Sdra Mohamad bin Maon sebagai pengerusi telah bertungkus lumus bersama jawatankuasa untuk memberikan perkhidmatan dan perjalanan khemah ibadah ini teratur dan terbaik supaya semua ahli yang mengikuti khemah ibadah ini berada didalam keselesaan. (gambar menunjukkan sdra. Mohamad Maon bersama Sdra. Tugiman Suyot salah seorang AJK yang sama-sama turut serta didalam khemah ibadah). Sepanjang khemah ibadah ini, sebanyak 3 kerja kerja telah dibentangkan oleh Ustaz Ariffin Haron, ustaz yang mengajar keempat-empat usrah. Kertas kerja tersebut adalah "Asas Aqidah Islam". Semoga khemah ibadah akan dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli yang mengikuti khemah ibadah ini, Insya' Allah.

Friday, October 31, 2008

Kursus Penyelenggaraan PC

Pengerusi dan Setiausaha KPPK iaitu Sdr. Mohamad Maon dan Hj. Ibrahim Mohamed menghadiri kursus Penyelenggaraan PC di MKM
pada 28 - 30 Oktober 2008. Kursus selama 3 hari itu adalah untuk mendedahkan kepada peserta kursus kepada mengenal komponen-komponen yang berada didalam sesebuah unit sistem, bagaimana cara dan kaedah untuk membuat senggaraan PC dan mengganti alat-alat sekiranya berlaku kerosakan. Didalam kursus tersebut peserta diajar mengenal alat-alat dan perkakasan PC, membuka dan memasang komponen PC tersebut. Walaupun kursus ini diadakan dalam masa yang singkat, namun ianya amat berguna kepada individu untuk mengenal IT, sistem dan fungsi didalam penggunaan seharian samada tugas pejabat, mahupun persendirian.

Friday, October 24, 2008

Mesyuarat ALK Ke 7

Pada 17 Oktober 2008 ALK mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara-perkara yang perlu disiapkan mengikut jadual. Perkara tersebut adalah seperti berikut:

1. Geran Pelancaran,

2. Projek CCTV Sua kasih,

3. Profil Koperasi,

4. Program Mandatori JPKR,

5. Ruang Pejabat Koperasi,

6. Projek Penanaman Serai,

7. Menyediakan Laman Web Koperasi

8. Membuka Akaun di CIMB

Perkara yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan sebelum mesyuarat berikut yang dijadualkan pada 15 November 2008 di Mid Valley

Kursus Mereka Laman Web






Pengerusi ALK sdr. Mohamad Maon telah menghadiri kursus 'Mereka Laman Web' di MKM selama 4 hari bermula 13 hingga 16 Oktober 2008. Didalam kursus ini, semua peserta diberikan pendedahan bagaimana untuk membuat laman web dan mereka bentuk (design) sesuatu laman supaya ia menjadi satu 'portal'. Kehadiran sdr. Mohamad dalam kursus ini adalah untuk mengadakan laman web sendiri bagi koperasi. Insya'Allah dalam masa terdekat Koperasi PPK akan mengadakan laman webnya sendiri. Sama-samalah kita tunggu nanti.

Monday, October 06, 2008

Mesyuarat Tetap Mesyuarat


Sejak koperasi pekerja dan pesara keselamatan diluluskan penubuhannya pada 6 Jun 2008, koperasi telah mengadakan mesyuarat ALK sebanyak 6 kali. Kekerapan mesyuarat adalah membincangkan perkara penting yang menjadi teras kepada perancangan dan program koperasi. Sebagai sebuah koperasi yang baru kertas kerja perlu disediakan untuk melaksanakan projek selaras dengan kehendak kewujudannya. Walau pun keadaan dan tempat mesyuarat agak kurang selesa kerana bilik yang sempit, keadaan yang tidak teratur, MESYUARAT TETAP MESYUARAT dan kami tetap bersyukur kerana diberi peluang menggunakan ruang pejabat berkenaan oleh PERUNIKA dan semua ALK memberikan komitmen sepenuhnya supaya cita-cita dan hasrat penubuhan koperasi akan menjadi pilihan kepada anggota kerja selepas tamat perkhidmatan.



Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Saya Pengerusi Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ALK dan ahli koperasi, semoga aidilfitri tahun ini membawa keberkatan dalam kehidupan seharian dan maaf zahir batin - Mohamad Maon


Thursday, September 11, 2008

Mencari Rakan Kongsi

Satu perjumpaan mengenai perhubungan kerjasama diantara koperasi dengan Encik A. Rani Wahab dari Keris Aryan Marketing telah diadakan pada 11 September 2008 di pejabatnya di Shah Alam. Wakil koperasi ialah Tuan Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim, Mohamad Maon, Mohd. noor Zakaria dan Tan Baba. Perbincangan tersebut hanya untuk mendapat maklumat yang lebih jelas bagaimana kerjasama diantara syarikat berkenaan dengan koperasi dapat diterjemahkan dalam bentuk niaga usahasama.

Tuesday, September 09, 2008

Erti Sebenar Kebahagiaan

Kebahagian sebuah rumahtangga adalah bergantung kepada kejujuran dan kesetiaan antara satu sama lain, kerana kejujuran dan kesetiaan akan membawa kepada erti sebenar kebahgiaan - mohamadmaon

Perbincangan & Lawatan Tapak Ke Taman Suakasih


Pada hari Isnin tanggal 8 September 2008, satu pertemuan telah diadakan diantara ALK yang berada disekitar Wilayah dan Selangor iaitu Hj. Ahmad Rusli, Mohamad Maon, Tan Baba dan Mohd. Noor Zakaria bagi membincangkan aktiviti koperasi. Perbincangan ini telah diadakan di MKM. Perbincangan tersebut adalah berfokuskan kepada menyediakan aturan-aturan, kertas kerja, penyewaan ruang pejabat dan Latihan. Selepas perbincangan, ahli ALK ke Cheras untuk melihat dan meninjau ruang pejabat yang boleh disewa untuk kegunaan koperasi. Selepas itu, ahli ALK membuat lawatan tapak ke Taman Perumahan Suakasih Cheras, dimana pengerusi taman ini meminta koperasi menyediakan sebut harga untuk memasang CCTV dan sistem kawalan keluar masuk dengan menggunakan 'autocard'. Gambar di atas ALK berbincang dengan Encik Mansor Yusof Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Sua kasih Cheras.

Thursday, September 04, 2008

Mohamad Maon kini Pengerusi ALK

Pengerusi Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan kini telah disandang oleh sdra Mohamad bin Maon (gambar kanan) ekoran daripada perletakan jawatan Tuan Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim atas sebab teknikal pada 16 Ogos 2008 dalam mesyuarat ALK. Sdra Mohamad sebelum ini adalah penyandang jawatan Setiausaha. Dalam ucapan sebaik sahaja dilantik, sdra Mohamad menyatakan, 'sebagai satu koperasi yang baru ditubuhkan, ia perlu komitmen sepenuhnya dari semua ALK supaya berperanan lebih aktif kerana banyak urusan dan perkara serta dokumen yang perlu disediakan sejajar dengan kehendak Akta dan UUK koperasi'. Jawatan beliau selaku setiausaha, ALK telah melantik Tuan Hj. Ibrahim bin Mohamed (gambar kiri). Atas pertukaran jawatan ALK tersebut, beberapa portfolio iaitu pengerusi bagi sesuatu Jawatankuasa pun bertukar. Sdra Mohamad selain dari jawatan Pengerusi ALK beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran & Latihan serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan. Tuan Hj. Ibrahim adalah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran.

Sunday, August 31, 2008

Perletakan Jawatan Pengerusi dan ALK

Didalam mesyuarat ALK yang diadakan pada 16 Ogos 2008, satu kejutan berlaku dimana Tuan Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim (gambar) telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli ALK berkuatkuasa sertamerta. Perletakan jawatan beliau adalah atas sebab-sebab teknikal. Berikutan kekosongan jawatan tersebut, ALK telah bersetuju melantik Sdra Mohamad bin Maon sebagai Pengerusi dan tempat beliau selaku Setiausaha, ALK telah melantik Tuan Hj. Ibrahim bin Mohamed. Didalam mesyuarat pada 29 Ogos 2008, ALK telah mengambil keputusan dan bersetuju, Tuan Hj. Ahmad Rusli dilantik sebagai Penasihat dan akan ditawarkan jawatan Pengurus jika koperasi ini menubuhkan anak syarikat. Untuk mengisi kekosongan seorang ALK akibat daripada perletakkan jawatan dan ALK, mesyuarat bersetuju untuk melantik Hussin bin Hj. Abdul Rahman untuk menganggotai ALK sejajar dengan Akta sek 69 (iv) (B). En. Hussin juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatakuasa Pelaburan. satu surat perlantikan akan menyusul kemudian.

Friday, August 29, 2008

ALK Hadir Kursus & Bicara Eksekutif di MKM

Pada 25 - 27 Ogos 2008 dua orang Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Tuan Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim dan Sdra Mohamad bin Maon telah menghadiri kursus 'Teknik Penulisan Aturan Aktiviti Koperasi' di MKM. Kursus ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada ALK cara dan kaedah untuk menyediakan peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan aturan dan seterusnya menyediakan aturan mengikut aktiviti yang dijalankan oleh koperasi. Oleh kerana, KPPK satu koperasi yang baru ditubuhkan, maka keperluan-keperluanyang diisyaratkan dalam akta dan undang-undang kecil perlu disediakan dan dipatuhi. Kursus seperti ini adalah wajib dan perlu dihadiri oleh semua ALK yang memegang beberapa portfolio.
Pada 28 Ogos 2008 ALK Hj. Ahmad Rusli Ibrahim, Mohamad Maon, Tan Baba dan Mohd. Noor Zakaria menghadiri Forum 'Bicara Eksekutif' anjuran MKM yang diadakan di Auditorium Dato' Abdul Majid. Dalam forum tersebut dua 'paper' telah dibentangkan iaitu 'Developing Co-operative Leaders in The Age of Globalization' oleh Dr. Peter Davis, Director, Unit for Membership Based Organizations University of Leicester dan 'Leadership in Practice An Overview of KT's Business Model' oleh Brig. Gen. (B) Dato' Ahmad Zahudi bin Hj. Haji Salleh, Pengurus Besar, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad.

Thursday, August 07, 2008

Kursus Perundangan Koperasi & Aplikasi

Seramai 4 orang Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Koperasi Pekerja & Pesara Keselamatan telah mengikuti kursus Perundangan Koperasi pada 4 - 7 Ogos 2008 di Maktab Kerjasama Malaysia, Petaling Jaya. Kursus selama 4 hari itu telah dihadiri oleh ALP Hj. Ahmad Rusli bin Ibrahim, Mohamad bin Maon, Hj. Ibrahim bin Mohamed dan Mohd. Noor bin Zakaria. Kursus ini adalah perlu kepada ALP kerana ia menerangkan secara terperinci undang-undang yang berkait dengan koperasi.

Topik-topik yang disampaikan seperti berikut:
1. Sistem Perundangan Malaysia
2. Pengenalan Undang-Undang Koperasi
3. Pertubuhan dan Keanggotaan
4. Pentadbiran Mesyuarat Agung
5. Pindaan Undang-Undang Kecil
6. Tugas dan Tanggungjawab ALK, JAD dan JKK
7. Harta dan Wang Koperasi
8. Akaun dan Audit
9. Pertikaian dan Kesalahan Am

Gambar Peserta Kursus Perundangan Koperasi

Friday, August 01, 2008

Kenangan Berada di Tanah Suci








Apabila kita duduk termenung, berbagai-bagai kenangan mengimbau kembali. Antara imbauan adalah ketika saya bersama isteri menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah pada 13 - 27 Mei 2008. Berbagai kenangan manis yang dilalui ketika itu. Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, hati berasa sayu ketika meninggalkan kedua-dua bandar tersebut. Didalam hati menyimpan satu niat bahawa Insya'Allah saya akan kembali untuk menunaikan fardhu haji.




Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi

Pada 28 - 29 Julai 2008 seramai 6 orang Ahli Lembaga Pengarah KPPK telah menghadiri kursus di atas bagi memantap Ahli Lembaga mengenai kefahaman perjalanan koperasi. Kursus tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Kerjasama Malaysia (MKM) telah diadakan di Shah Village Hotel Petaling Jaya. Ahli Lembaga Pengarah yang mengikuti kursus ini adalah seperti berikut:

1. Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim
2. Mohamad bin Maon
3. Hj. Ibrahim bin Mohamed
4. Tan Baba
5. Mohd. Noor bin Zakaria
6. Hamzah bin Redza

Topik-topik yang disampaikan didalam kursus ini adalah:

1. Latarbelakang dan kefahaman koperasi
2. Tugas dan tanggungjawab Ahli Lembaga Koperasi (ALK)
3. Undang-undang dan peraturan mesyuarat koperasi
4. Pengurusan kewangan koperasi
5. Tadbir urus koperasi
6. Pertikaian dan kesalahan yang lazim dilakukan oleh ALK dan penalti

Friday, July 18, 2008

Perbincangan Kerjasama dengan IBA Security

Tan Baba sedang berkata sesuatu dengan Dato' Ishak

Satu perbincangan kerjasama secara tidak rasmi antara koperasi KPPK dengan syarikat kawalan IBA Security telah diadakan pada 11 Julai 2008 di Pejabat IBA Security di Seremban. Wakil daripada IBA Security adalah Pengarah Eksekutif Dato' Ishak Awang, Hamzah Redza dan Mohd. Nizar Abdullah manakala wakil koperasi adalah terdiri daripada Mohd. Noor Zakaria Pengerusi Biro Perkhidmatan dan Pembekalan, Tan Baba Pengerusi Biro Hartanah & Perladangan dan Mohamad Maon Setiausaha Eksekutif Koperasi KPPK. Dalam perbincangan tersebut, Syarikat IBA Security bersetuju untuk berkerjasama dengan koperasi di dalam perkara perkhidmatan kawalan di syarikat TNB. Perbincangan ini akan diadakan dari semasa ke semasa sehingga satu perjanjian MoU akan dibuat. Insya 'Allah,

Thursday, July 17, 2008

Mesyuarat Biro-Biro Koperasi


Pada 7 Julai 2008 (sabtu) satu mesyuarat biro telah diadakan bagi membincangkan beberapa aspek mengenai biro-biro yang wujud secara umum dan pelan induk koperasi. Pelan induk perlu disediakan kerana ia akan menentukan halatuju dan keberkesanan operasi koperasi.Didalam mesyuarat tersebut, majlis berpendapat bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan koperasi ia bergantung kepada biro-biro, kerana biro-biro ini akan menyokong dan menjadi tunggak kepada pergerakan koperasi. Oleh itu bagi memantapkan pengurusan koperasi, majlis bersetuju biro-biro yang ada dikaji dan disemak semula peranan dan bidangkuasa.

Hasil dari perbincangan, majlis bersetuju untuk mengwujudkan beberapa biro dengan memansuhkan biro ekonomi yang terlalu luas bidangnya. Biro-Biro yang telah diputuskan adalah seperti berikut termasuk pengerusi setiap biro:

i. Biro Pendidikan dan Pelajaran – Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim
ii. Biro Pentadbiran – Mohamad bin Maon
iii. Biro Kewangan – dipangku Normah binti Sarkawi
iv. Biro Hartanah dan Perladangan – Tan Baba
v. Biro Perkhidmatan & Pembekalan – Mohd. Noor bin Zakaria
vi. Biro Kebajikan – Hj. Ibrahim bin Mohamed

Bagi menjayakan pelan pelaksanaan, semua pengerusi biro dikehendaki menyediakan visi dan misi sejajar dengan visi dan misi induk. Oleh itu semua pengerusi perlu melantik siapa yang perlu mengganggotai Jawatankuasa mereka.

Berikut Jawatankuasa penuh setiap Biro:

i.Pendidikan dan Pelajaran
Hj. Ahmad Rusli bin Ibrahim – Pengerusi
Halim bin Ishak – Ahli
Mohamad bin Maon – Ahli
Hj. Ahmad Nasir bin Abdul Rahim – Ahli
Seorang Setiausaha

ii.Pentadbiran
Mohamad bin Maon – Pengerusi
Hj. Ahmad Nasir bin Ab Rahim - Ahli
Normah binti Sarkawi – Ahli
Tan Baba – Ahli

iii.Kewangan
Normah binti Hj. Sarkawi – Pengerusi
Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim
Mohamad bin Maon - Ahli
Mohd. Noor bin Zakaria - Ahli

iv.Hartanah dan Perladangan
Tan Baba – Pengerusi
Hj. Ahmad Rusli b Hj. Ibrahim – Ahli
Mohamad bin Maon – Ahli
Mansor bin Mohd. Yusof – Ahli

v. Perkhidmatan dan Pembekalan
Mohd. Noor bin Zakaria – Pengerusi
Hamzah bin Redza – Ahli
Mohd. Khairul Anwar – Ahli
Mohd. Khairul Adlan – Ahli

vi Kebajikan
Hj. Ibrahim bin Mohamed - Pengerusi
Mohamad bin Maon – Ahli
Mohd. Noor bin Zakaria – Ahli
Hamzah bin Redza - Ali

Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi

Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) adalah satu intitusi yang menganjurkan kursus-kursus kepada anggota dan ahli koperasi. Sehubungan dengan itu, koperasi yang baru ditubuhkan anggota lembaga adalah wajib menghadiri kursus yang dijalankan di MKM. Di antaranya adalah kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi. Oleh itu didalam mesyuarat lembaga pengarah pada 5 Julai 2008 telah bersetuju semua anggota lembaga dikehendaki menghadiri kursus wajib pada 28 dan 29 Julai 2008 selama 2 hari. Berikut adalah nama yang akan mengikuti kursus di atas.
1. Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim
2. Mohamad bin Maon
3. Hj. Ibrahim bin Mohamed
4. Halim bin Ishak
5. Mohd. Noor bin Zakaria
6. Hamzah bin Redza
Disamping itu juga, dua orang ahli koperasi akan mengikuti kursus Asas Pengurusan untuk Kerani Koperasi pada 28 - 30 Julai 2008 selama 3 hari. Nama-nama peserta adalah seperti berikut:
1. Mohd Khairul Anwar bin Mohd. Noor
2.Mohd. Khairul Adlan bin Mohd. Noor

Monday, July 14, 2008

MESYUARAT ANGGOTA LEMBAGA

Setakat berita ini ditulis, koperasi telah mengadakan mengadakan mesyuarat diperingkat Anggota Lembaga (Lembaga Pengarah) sebanyak 2 kali iaitu pada 20 Jun 2008 dan 5 Julai 2008. Mesyuarat ini hanya tertumpu kepada perancangan untuk membentuk visi dan misi organisasi serta mengwujudkan beberapa biro bagi mengerakkan program dan aktiviti koperasi supaya program koperasi berjalan mengikut perancangan. Bagi menyelaraskan kegiatan tersebut satu mesyuarat biro-biro telah juga diadakan pada 7 Julai 2008.

Mesyuarat Anggota Lembaga Koperasi

Setakat berita ini ditulis, Koperasi telah mengadakan mesyuarat diperingkat Anggota Lembaga (Lembaga Pengarah) sebanyak 2 kali. Pertama pada 20 Jun 2008 dan kedua pada 5 Julai 2008. Mesyuarat tersebut hanya tertumpu kepada perancangan untuk membentuk visi dan misi organisasi serta mengwujudkan beberapa biro sebagai penggerak kepada pelaksanaan program dan aktiviti Koperasi.

Saturday, June 28, 2008

Koperasi Mendapat Kelulusan Dari SKM

Koperasi Pesara Keselamatan TNB yang ditubuhkan atas asas semangat setiakawan untuk membantu dan meningkatkan ekonomi ahli dan pesara keselamatan telah mendapat kelulusan pendaftaran dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 10 Jun 2008 dengan no daftar: W-6-0441. Kelulusan tersebut dengan sedikit tambahan dan pindaan dengan nama Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan Tenaga Nasional Berhad. Jumlah senarai Anggota Lembaga yang dicadangkan koperasi seramai 10 orang telah ditambah atas cadangan SKM menjadi 12 orang. Oleh itu, pertambahan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana nama anggota lembaga dipilih melalui mesyuarat agung. Nama Anggota Lembaga adalah seperti berikut termasuk 2 orang Juruaudit:

1. Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim - Pengerusi
2. Mohamad bin Maon - Setiausaha
3. Hj. Ahmad Bakri bin Mohd. Zahir - Bendahari
4. Hj. Ibrahim bin Mohamed - Ahli
5. Tan Baba - Ahli
6. Hj. Ahmad Nasir bin Abdul Rahim - Ahli
7. Mohd. Noor bin Zakaria - Ahli
8. Normah binti Hj. Sarkawi - Ahli
9. Halim bin Ishak - Ahli
10. Shahruddin bin Abdullah Sani - Ahli
11. Hj. Sufian bin Ibrahim - Juruaudit
12. Hamzah bin Redza - Juruaudit

Dengan kelulusan pendaftaran koperasi tersebut satu mesyuarat anggota lembaga akan diadakan pada 20 Jun 2008 bagi membincangkan pengisian agenda koperasi.

mohamad maon

Wednesday, April 30, 2008

Pesara Sjn Sahar Tahir Kembali Kerahmatullah

Saya menerima panggilan dari EncikMohd Noor Zakaria jam 1130 malam 29 April 2008, menyatakan bahawa member pesara Sjn Sahar Tahir yang menetap di Melaka telah meninggal dunia di Hospital Melaka lebih kurang jam 5.00 petang kerana kanser paru-paru. Menurutnya juga Allahyarham akan dikebumikan jam 9.00 pagi pada 30 April 2008. Apabila berita tersebut saya terima, saya segera 'sms' kepada ahli-ahli pesara untuk memaklumkan berita ini. Dengan berpergiannya Allahyarham ke Rahmatullah blog pesara keselamatan tnb merakamkan takziah kepada isteri dan keluarga beliau, semoga tabah menghadapi ujian daripada Allah SWT. Doa dari kami agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama roh-roh para solehin.
- mohamadmaon

Tuesday, February 19, 2008

Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi

Setelah mendapat surat kelulusan bertarikh pada 10 Disember 2007 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang dahulunya Jabatan Pembangunan Koperasi Wilayah Persekutuan, kini wujudnya koperasi pesara keselamatan akan menjadi kenyataan, apabila mesyuarat agung permulaan akan diadakan pada 2 Mac 2008 di Hotel Adamson Kuala Lumpur. Mesyuarat Agung Permulaan ini adalah penting kerana SKM akan memberi pengiktirafan dengan mengeluarkan sijil yang membolehkan koperasi ini bergerak berpandukan Undang-undang Kecil Koperasi.


Oleh itu, Jawatankuasa Penaja Penubuhan Koperasi telah mengeluarkan surat kepada ahli-ahli mengenai mesyuarat berkenaan. Adalah diharapkan kehadiran ahli-ahli yang terdiri dari kalangan pesara dan anggota keselamatan akan mendapat sambutan yang menggalakkan demi untuk masa depan ahli-ahli selepas mereka bersara dari perkhidmatan.


Ahli-Ali Jawatankuasa Penaja Koperasi Pesara Keselamatan adalah seperti berikut:

1. Tuan Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim - Pengerusi
2. Encik Mohamad bin Maon - Setiausaha
3. Tuan Hj. Ahmad Bakri bin Mohd. Zahir - Bendahari
4. Tuan Hj. Sufian bin Ibrahim
5. Tuan Hj. Ibrahim bin Mohamed
6. Encik Tan Baba
7. Tuan Hj. Ahmad Nasir bin Abdul Rahim
8. Tuan Hj. Abu Borhan bin Ali
9. Encik Yahya bin Aripin
10. Encik Mohd. Nor bin Zakaria