Tuesday, March 22, 2011

Melawat Hj. Sufian bersama Hj. Adanan Kasian di Wad 406 PMC

bergambar dengan Hj Sufian yang kelihatan agak ceria setelah hampir 3 bulan terlantar di hospital

Hj Adanan merakamkan gambar dengan Hj Sufian

Akibat kemalangan yang tidak diduga Hj. Sufian terlantar dihospital
kini kesihatan bertambah pulih ketika saya melawatnya di PMC dengan Hj. Adanan
mudah2an beliau sihat seperti sediakala, Insya'Allah

Hari ini pada 22 Mac 2011, saya telah berjanji dengan Hj. Adanan Kasian yang baru datang dari Batu Pahat untuk melawat Hj Sufian dan sarapan pagi di kedai makan di Pantai Dalam. Biasanya makan tersebut Hj. Adanan yang bayar termasuk membeli buah-buahan untuk dibekal dibawa balik kerana saya tahu beliau adalah seorang yang pemurah hati dan mungkin baru lepas menuai kelapa sawit yang harga sawit telah naik keparas RM700 ke atas, mana tidak Hj. Adanan adalah seorang yang berwang (berduit).

Selepas sarapan kami pun bergerak ke PMC bertujuan untuk melawat Hj. Sufian yang mendapat rawatan di sana. Kami pun sampai di wad 406 dimana Hj. Sufian ditempatkan, beliau ditemankan oleh isteri yang sabar menjaga sepanjang masa Hj. Sufian mendapat rawatan. Alhamdulillah, isteri yang solehah, penyabar dan sanggup berkorban untuk suami yang tersayang.

Kami melihat, banyak perubahan kepada tahap kesihatan Hj. Sufian sepanjang berada di PMC, kami berbual, walaupun kami kadang-kadang bercerita yang lucu, Hj. Sufian turut tersenyum dan kelihatan ceria. Mudah-mudahan beliau beroleh kesihatan yang sepenuhnya kerana kami bertiga agak rapat semasa ketika sama-sama dalam perkhidmatan. Maklum kami adalah satu badge yang sama mendapat latihan di Lemal Pasir Mas Kelantan bulan November 1979.

Akhir kata, kami berdoa semoga beliau beroleh kesihatan serta tabah menghadapi ujian yang getir dari Allah SWT.

Bersantai di Pulau Langkawi

Melawat ke Pameran Kota Mahsuri
Pintu gerbang ke Makam Mahsuri

Setelah lama saya tidak ke Pulau Lagenda Langkawi hampir 3 tahun, pada hari sabtu jam 7 pagi tanggal 19 Mac 2011, saya bersama isteri saya berangkat ke Pulau Langkawi dengan menaiki kenderaan sendiri melalui Sabak Bernam, Teluk Intan dan ke Tapah dan masuk melalui Lebuhraya ke Utara. Kali ini pemergian ke Langkawi, anak-anak tidak turut serta kerana 4 orang anak saya, ada kelas dan 'preparation' untuk menghadapi peperiksaan semesta U tidak lama lagi dan seorang lagi akan memulakan persekolahan pada 21 Mac 2001 selepas cuti persekolahan selama seminggu, Jadi dengan sebab itu, mereka ini tidak pergi bersama. Kebiasaannya, kemana kami berjalan, saya tidak pernah tinggalkan anak-anak, mesti dibawa bersama.

Sepanjang perjalanan ke utara bermula dari Ipoh sehingga ke Alor Setar hujan turun dengan lebat sehingga jarak penglihatan terbatas dan sampai di Kuala Perlis agak lewat pada jam 5.30 petang. Menaiki feri ke pulau dengan tambang RM18 seorang. Sampai di langkawi jam 7.45 malam dan menyewa kereta. Saya dan isteri terus menuju ke Pantai Tengah untuk menginap di chalet yang telah ditempah lebih awal.

Pada keesokan hari (20 Mac 2011) kami berdua memulakan perjalanan dari Pantai Tengah kami melalui Temoyong ke pekan Kuah singgah ke Kedai Hj. Ismail Group membeli keperluan biasa sahaja, ke Padang Mat Sirat, ke Makam Mahsuri, ke Teluk Burau dan ke Pantai Cenang untuk ber'shopping' di kedai bebas cukai bersebelahan dengan 'water world'. Ada beberapa tempat tidak sempat kami pergi kerana fakta cuaca antaranya menaiki 'cable car', ke telaga tujuh dan lain-lain.

Di atas adalah gambar yang sempat kami rakamkan ketika kami menziarahi Makam Mahsuri.

Pada pagi 21 Mac 2011 saya berangkat balik ke Klang. Lagi sekali sepanjang perjalanan balik, kami menempuh cuaca hujan yang amat lebat dan sampai di Klang jam 10.30 malam.

Friday, March 18, 2011

Menghadiri Mesyuarat Agung Cawangan Selangor 'B' Koperasi Shamelin

Saya menghadiri mesyuarat agung koperasi Shamelin cawangan Selangor B di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya Selangor pada 17 Mac 2011 jam 3.00 petang. Sebelum tiba di tempat mengadakan mesyuarat tersebut saya telah tersalah masuk jalan, akibatnya saya berpusing untuk mencari Jalan Selangor. Pedomannya kesana adalah Hospital Assunta. Sampai ditempat mesyuarat saya mendaftar dan terus dibayar elaun kehadiran. Sebagaimana setiap tahun elaun kehadiran dibayar sebanyak RM40.00 seorang tetapi pada tahun ini ditambah RM10.00 menjadikan jumlah elaun sebanyak RM50.00, Alhamdulillah.

Mesyuarat dimulakan jam 3.30 petang kerana menunggu anggota koperasi tiba (mungkin belum cukup korum). Anggota koperasi adalah rata-rata semuanya veteran, namun begitu semangat anggota veteran cukup tinggi sekali mungkin inilah satu-satu koperasi yang ditubuh dan diasaskan oleh Allahyarham Dato' Harun Idris untuk orang melayu sahaja. Namanya pun cukup glamour "Shamelin" ringkasan daripada Sharikat Melayu Insaf . (Sharikat ejaan lama)

Setiausaha koperasi cawangan menyatakan perjalanan mesyuarat harus dipercepatkan kerana penyewaan dewan sampai jam 5.00 petang. Rasa saya mesyuarat diperingkat cawangan tidak perlu dipanjang-panjangkan kerana perkara yang perlu dibangkitkan adalah peringkat mesyuarat agung perwakilan. Mesyuarat semalam yang penting hanya untuk memilih seramai 7 orang perwakilan ke mesyuarat agung peringkat Pusat.

Mesyuarat ditamatkan jam 4.30 petang dan seterusnya menikmati jamuan yang telah disediakan. Selepas minum saya pun berangkat balik menuju ke Jalan Bangsar untuk mengambil isteri saya yang habis bekerja jam 5.15 petang.

Sekian

Thursday, March 17, 2011

Melawat Hj Sufian Ibrahim di PMC

Semalam (17 Mac 2011), jam 10.30 pagi saya bersama Sdr N.R John telah melawat Hj. Sufian yang terlantar di Hospital Pantai akibat kemalangan jalanraya di Seremban pada 8 Januari yang lalu. Setelah 5 kali lawatan saya, dua kali di Hospital Seremban dan 3 kali di Pantai Medical Centre (PMC) keadaan beliau masih belum sedar sepenuhnya. Tetapi lawatan saya kali ke 6, saya lihat dan dapati Hj. Sufian jauh telah berubah, tahap kesihatannya bertambah baik dan beliau boleh bercakap dan berbual serta ingatannya masih baik. Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT yang telah menerima dari doa-doa keluarga beliau dan juga dari rakan dan sahabat handai taulan yang telah sama-sama mendoakan kesihatan beliau pulih seperti sedia kala.

Ketika lawatan tersebut secara kebetulan, salah seorang dari Doktor yang merawat beliau, iaitu Dr. Kok datang melihat situasi beliau, dan Dr Kok berkata, 'kalau pakcik sihat dan boleh makan dan minum pakcik boleh keluar pada minggu depan' dan berharap pakcik menjalani eksesais (terapi) untuk berjalan semoga beliau boleh bergerak cergas sepenuhnya.

Di akhir lawatan, saya mendoakan kesihatan beliau akan bertambah baik supaya dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Insya Allah.

Wednesday, March 16, 2011

Reunion Bekas Anggota 8 RAMD

Bergambar bersama dengan bekas-bekas anggota 8 RAMD
di rumah Encik Murshidi di Alor Gajah Melaka

Pada sabtu 12 Mac 2011, saya mendapat jemputan dari Mejar Isnin mengundang ke majlis walimatul urus anak kepada bekas anggota 8RAMD di Alor Gajah Melaka. Undangan tersebut saya hadiri dengan isteri saya, dimana isteri saya tidak mengenali mereka-mereka ini, kerana saya berkahwin dengan isteri saya setelah saya berhenti dari perkhidmatan tentera pada tahun 1978 . Pertemuan ini adalah sungguh bermakna bagi saya, walaupun kehadiran mereka tidaklah seramai yang dijangka tetapi cukup bererti dan sekaligus mengingati kenangan dan nostalgia ketika sama-sama berkhidmat di Bn 8 RAMD. Di sana, selain menikmati jamuan kenduri tersebut, bekas-bekas anggota dapat berjumpa setelah sekian lama berpisah yang hampir saya kira 30 tahun lamanya. Antara yang saya ingat nama-nama yang saya berjumpa selain daripada Mejar Isnin, ialah Lt Kol Amir, SM Jantan, Nordin, Abu Zaharin dan lain-lain.

Insya Allah, jika mendapat undangan untuk mengadakan reunion (kiambang bertaut) seperti didalam majlis walimatul urus adalah sesuatu yang baik supaya silaturrahim diantara kita bersama dapat dikekalkan sehingga akhir hayat.

Melawat Hj Ibrahim Mohamed dan isteri di Hospital

Pada minggu lepas, tanggal 10 Mac 2011 saya bersama dengan sdra Mohd. Noor Zakaria membuat lawatan di Perak Komuniti Specialist Hospital Jalan Kampar Ipoh dimana Hj. Ibrahim dan isteri mendapat rawatan di hospital berkenaan. Hj. Ibrahim sakit dibahagian buku lali kaki kiri yang membengkak dan dijangkiti kuman, akibat daripada itu, beliau terpaksa di operasi untuk membuang nanah, sementara isteri beliau mendapat rawatan kerana kedua-dua belah kakinya di potong bawah lutut kerana menghidapi sakit kencing manis. Dalam lawatan tersebut, saya berharap beliau bersabar menghadapi ujian dari Allah SWT dan mendoakan semoga beliau cepat sembuh dari penyakit yang dihidapinya termasuklah isteri beliau, sehingga berita ini saya tulis (16/3/2011) beliau dan isterinya masih berada dihospital berkenaan.