Wednesday, August 17, 2011

Kebun Buah Pulasan

Sempena cuti Nuzul Qur'an di Selangor pada 17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadan 1432, saya berdua dengan Normah isteri saya mengambil kesempatan untuk pulang ke Melaka walaupun baru sahaja kami balik ke Melaka. Kali ini, saya ke Melaka atas jemputan sepupu saya sebelah emak bernama Samadi untuk merasa buah pulasan yang sedang ranum masak di pokok hasil usaha beliau menanam sebanyak 100 batang pokok berkenaan. Setiba saya di rumahnya, isterinya membawa saya ke kebun untuk melihat dan memetik buah di mana Samadi telah lebih awal berada di kebunnya.


Walaupun dalam bulan ramadan semua pokoknya berbuah, inilah berkat berbudi pada tanah, Allah beri ganjaran hasil yang lumaian. Sungguhpun begitu kami tidak dapat merasakan keenakan buahnya kerana kita sedang menjalani ibadah puasa. Kita terpaksalah menunggu diwaktu berbuka.

Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kita dapat menikmati hasil usaha Samadi menjadi petani moden. Terima kasih pada Samadi yang telah membekalkan saya untuk dibawa balik bersama buah pulasan, rambutan, jantung pisang, limau nipis dan ulam-ulaman pucuk 'tenggek burung'. Alhamdulillah.. budi baiknya tak dapat saya membalasnya, melainkan Allah sahaja lah yang dapat membalasnya. Insya' Allah

isteri saya sedang membawa buah rambutan dan pulasan yang baru di petik

Monday, August 08, 2011

Menaiki Monorel di Melaka

Sehari sebelum menyambut bulan Ramadhan iaitu pada 30 Julai 2011, saya ke Melaka untuk melihat saudara-mara di kampong dan juga melihat rumah dan kebun yang telah lama ditinggalkan. Sejak kedua-dua ibu bapa telah tiada saya jarang sekali balik ke kampong. Secara kebetulan saya balik ke kampong, pokok rambutan hasil tanaman dan peninggalan arwah bapa, semuanya berbuah, saya rasa tidak lebih dari 9 batang pokok yang berbuah dengan berlainan rasa. Saya bersama keluarga memetik buah sehingga memenuhi ruang bonet kereta untuk dibawa balik ke Klang. Terima kasih pada arwah bapa yang telah berusaha menanam dan hasilnya dapat dinikmati bersama oleh anak dan cucunya. Al-Fatihah kepada arwah bapa dan emak yang telah dijemput oleh Allah SWT. Moga-moga kedua arwah bapa dan emak ditempatkan bersama dengan para salihin dan orang-orang beriman...Insya 'Allah.

Sebelum itu, saya ke bandar Melaka untuk melihat rumah sewa anak perempuan saya yang belajar di UiTM Bandaraya Melaka. Kebetulan rumah sewanya berhampiran dengan perkhidmatan monorel untuk pelancong yang baru dibina oleh Kerajaan negeri Melaka. Kami menaiki monorel dengan tambang dewasa seorang RM10 bagi satu perjalanan pergi balik selama 20 minit. Dengan menyusuri Sg. Melaka maka kelihatan panaroma yang sangat menarik dengan berlatarbelakang Kg Morten yang cantik dengan lankskap yang tersusun atur sungguh indah menikmati pemandangan sebegini. Kami sempat merakamkan gambar semasa didalam monorel.

bergambar berlatarbelakang monorel
dalam koc monorel

pemandangan menyusuri sg Melaka



Tuesday, August 02, 2011

Selamat Berpuasa

Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana agak lewat (kerana telah masuk hari kedua berpuasa) untuk mengucapkan selamat berpuasa sempena ketibaan Ramadhan Al MubaraK 1432 Hijriah. Apa yang pentingnya, kita dapat menunaikan rukun Islam yang ke 3 dengan penuh aman dan damai dalam negara ini yang mengamalkan budaya dan cara hidup Islam. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT kerana melimpahkan anugerah negara kita dalam situasi aman dan damai.

Bercakap mengenai puasa, semua umat Islam tahu daripada niat sehingga berbuka puasa, jaga adab sopan ketika berpuasa termasuk mata, telinga, mulut dan segala-segala semuanya berpuasa. Yang terlebih penting dalam berpuasa mesti ada keikhlasan dan amanah. Tanpa keikhlasan dan amanah, puasa akan menjadi tidak sempurna dan sia-sia. Tidak perlu dihuraikan mengenai keikhlasan dan amanah, kalau nak dihuraikan ia agak panjang, bukan itu sahaja bersolat adalah penting kerana menegakkan agama termasuk sunat terawih dan membaca Al'Quran.

Selamat berpuasa semoga dengan berpuasa dapat meningkatkan amalan dan keimanan kita, Insya'Allah.