Friday, September 30, 2011

Menyambut Ketibaan Aidilfitri 2011 (1432H)

Setelah sebulan, bulan syawal berlalu saya belum ada masa untuk posting berita-berita terutama ketika menyambut Aidilfitri.

Bergambar bersama ustaz Ariffin (tengah) dan Hj Safaruddin (kanan)

Pada pagi syawal kami bersolat sunat aidilfitri di Klang, selepas solat sunat berangkat ke Melaka sekeluarga dengan menaiki dua buah kereta melalui lebuhraya Plus. Dalam perjalanan kami singgah di Teras Jernang, Bangi rumah Ustaz Ariffin guru kami yang mengajar tauhid dan tasawuf. Itulah rumah yang pertama kami singgahi untuk beraya. Di rumah Ustaz Ariffin kami menikmati juadah yang dihidang oleh isterinya Ustazah Aidah. Selepas makan kami bergambar dan bersalaman dan bermaafan dan kami meneruskan perjalanan ke Melaka.

keluarga kami bergambar dengan ustaz Ariffin dan isterinya

Kami tiba di Melaka sekitar jam 2 petang dan singgah di rumah kakak yang tua iaitu Hajjah Arfah di Kg Gelam Melaka. Rumahnya telah ramai sanak saudara yang datang. Kami dihidang dengan makanan kuih raya termasuk ketupat dan rendang. Biasalah apabila suasana begini di raya pertama.

Di rumah kakak di Kg Gelam, Melaka

Di Melaka kami sekeluarga bermalam dirumah sewa Ezzah di Pengkalan Rama, anak kami yang keempat yang belajar di UiTM Bandaraya Melaka dalam semester 4 jurusan akaun. Dua hari di Melaka, kami mencari kedai makan untuk menukar selera. Dalam perjalanan, di Lereh, ada sebuah kedai makan yang dibuka, saya berfikir mana ada kedai makan yang dibuka sementelah lagi pada dua hari raya. Kami sekeluaga singgah dan makan roti canai dan mee rebus.

Pada raya ke 3, kami berangkat balik ke Klang dan keesokannya kami terus ke Sabak Bernam, kampong isteri saya. Kami tidak bermalam di sana, tapi beraya dari pagi sampai petang. Perjalanan balik kami singgah di rumah Puan Ainun di Parit 9, Sekinchan, penjual kerepak ubi dan pisang yang selalu kami beli melalui tempahan.


Bergambar dengan Puan Ainun (kanan sekali) di brenda rumah barunya di tepi bendang


Dari kiri Normah, Nurul (menantu) dan Puan Ainun

Walaupun begitu, kemeriahan hari raya tetap ceria pada minggu pertama syawal kerana minggu kedua, isteri saya tiba-tiba diserang penyakit urat saraf dimana penyakit tersebut membuatkan diri yang kena tidak selesa, berdiri, duduk, baring dan apa sahaja semua terasa sakit dan ditambah dengan denyutan berbisa. Mereka yang mengalami sahaja yang tahu bagaimana sakitnya. Bahkan rumah jiran terdekat kiri dan kanan tak dapat dikunjungi seperti kebiasaan tahun-tahun yang lepas.


Normah duduk sahaja tidak boleh bergerak kemana-mana

Perancangan mengadakan rumah terbuka terpaksa diteruskan kerana semua makanan dan laukpauk telah ditempa dengan katering. Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur kepada Allah dalam keadaan isteri saya sakit masih meneruskan perancangan yang dibuat. Alhamdulillah, ramai saudara mara, sahabat handai dan jiran datang sempena Rumah Terbuka sehingga tengah malam.

Encik Ab Jalal sekeluarga sedang menikmati juadah yang disediakan