Saturday, July 28, 2012

Ke Rumah Tuan Hj. Ahmad Rusli di Bentong

Pada 20 Julai 2012 hari Jumaat sehari sebelum puasa, saya bersama Mohd Noor Zakaria turun ke Bentong dengan menaiki kereta BMW nya, bertujuan ke rumah Tuan Hj Ahmad Rusli Ibrahim bekas bos saya ketika dalam perkhidmatan dulu. Tujuan ke sana adalah untuk berjumpa dan bertanya khabar kerana lama terputus hubungan selain untuk mendapat salinan kad pengenalan bagi memohon mendapatkan sijil MOF (kerana Tuan Ahmad Rusli adalah bekas pengerusi Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB) Sijil MOF ini lama sudah kami memohonnya melalui koperasi tetapi disebabkan teknikal sehingga kini masih belum diperolehi. 

Setibanya kami berdua kerumah Tuan Ahmad Rusli. kami berjumpa isteri beliau menyatakan hajat kami. Tapi malang Tuan Ahmad Rusli baru saja pergi ke Raub kerana ada urusan dan bersolat jumaat disana serta dijangkakan akan balik pada waktu petang.  Isteri beliau memberitahu jika ada urusan penting memintanya kami meninggalkan pesanan yang saya tulis di atas sekeping kertas supaya dapat disampaikan kepada Tuan Ahmad Rusli. Saya amat berharap Tuan Ahmad Rusli memberi respon kepada pesanan saya.

Seminggu kemudian, pada 27 Julai 2012, saya menerima surat dari Tuan Ahmad Rusli dengan salinan kad pengenalan beliau. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memudahkan saya menguruskan pendaftaran semula untuk memohon sijil MOF bagi kegunaan koperasi yang selama ini tidak mempunyai aktiviti.

Untuk makluman semua ALK dan anggota koperasi, sebenarnya koperasi ini yang ditubuhkan atas dasar kepentingan anggota dan pesara hanya beberapa orang saja yang menggerakkannya. Kerapkali bila dipanggil untuk mesyuarat ALK boleh dikatakan tiada mendapat sambutan dan tidak pernah cukup kourum. Disebabkan inilah, mesyuarat ALK bagi sesi 2011/2012 baru dapat diadakan dua kali sahaja. Perkara ini telah saya bawa ke pengetahuan Encik Hamni SKM Wilayah. 

Saya, insya Allah akan berusaha untuk membangun dan menggerakan koperasi ini sehingga beroleh kejayaan walaupun kejayaan yang diharapkan masih lagi jauh dari jangkauan, kerana untuk menubuhkan sesuatu koperasi bukannya perkara mudah, ia melalui banyak proses. Semua proses itu telah saya lalui dan kini telah memasuki 4 tahun penubuhannya. Bak kata pepatah dulu-dulu 'usaha adalah tangga kejayaan'.

Friday, July 20, 2012

Menyambut Ketibaan Ramadhan Al Mubarak

Pada hari ini 21 Julai 2012 kita menyambut ketibaan ramadan dengan mula berpuasa setelah sebelas bulan kita makan diwaktu siang. Bulan ramadan adalah satu bulan yang penuh dengan keberkatan. Oleh itu, kita bersama menjalani ibadah bepuasa dengan penuh khusuk dan tawaduk semoga kita kelak akan mendapat ganjaran pahala dan rahmat Allah SWT

Selamat berpuasa......semoga puasa kita akan diterima oleh Allah SWT

Friday, July 06, 2012

Cadangan Mengadakan Reunion

Jawatankuasa ALK dalam mesyuarat pada 30 Jun 2012, telah mencadangkan untuk mengadakan reunion untuk pesara-pesara dan pekerja keselamatan termasuk anggota koperasi yang bertujuan untuk berkumpul dalam satu majlis bagi mengeratkan hubungan silaturrahim. Cadangan reunion diadakan pada bulan Oktober 2012 di Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Bagi tujuan tersebut Jawatankuasa ALK akan mendapatkan maklumat daripada kalangan pesara/pekerja dan juga anggota koperasi, sama ada mereka bersetuju untuk menghadiri program yang dicadangkan. Program reunioan adalah satu majlis yang dinamakan malam himpunan mesra dikalangan pesara/pekerja dan juga anggota koperasi. Selain daripada majlis makan malam diadakan juga sukan keluarga disebelah pagi keesokannya. Apa yang lebih penting adalah untuk mencapai matlamat mengadakan mesyuarat agung tahunan koperasi dapat diadakan dalam suasana semua anggota hadir sama.

Bajet bagi mengadakan program reunion akan diusaha dengan mencari penaja bagi menampong perbelanjaan disekitar 5 atau 6k. Adalah diharapkan program yang dirancangkan ini mendapat sambutan dari kalangan pesara/pekerja dan anggota koperasi.

Wednesday, July 04, 2012

Mesyuarat ALK ke 2 baru dapat diadakan

Setelah sekian lama mesyuarat pertama diadakan sebailk sahaja mesyuarat agung tahun lepas pada 30 Oktober 2011, mesyuarat ALK ke 2 baru dapat diadakan pada 30 Jun 2012. Dalam tempoh 6 bulan selepas mesyuarat pertama, Jawatankuasa ALK tidak pernah ada ruang untuk dapat mengadakan mesyuarat walaupun perancangan dan fokus tarikh-tarikh mesyuarat telah ditetapkan, malangnya tarikh-tarikh tersebut selalu menyebabkan ada dikalangan ALK.tidak dapat hadir yang memungkinkan tidak cukup korum untuk bermesyuarat. 

Apabila mesyuarat tidak dapat diadakan, maka banyak maklumat dan idea tidak boleh disampai dan disalurkan untuk kebaikan dan memanfaatkan koperasi, begitu juga jika ada segala keputusan yang hendak diambil dan dilakukan maka tidak boleh dilaksanakan kerana tidak mendapat mandat sepenuhnya dari ALK. Begitu lah keadaannya hingga ke hari ini.

Memperkatakan mengenai Sijil Kementerian Kewangan (MOF), koperasi telah memohon untuk mendapatkan sijil pada akhir 2010 tetapi sehingga kini koperasi belum lagi memiliki sijil tersebut. Apabila sijil tersebut tidak diperolehi, maka koperasi tidak mempunyai aktiviti, apabila koperasi tidak mempunyai aktiviti maka koperasi dianggap tidak berdaya maju dan seolah-olah koperasi mati (bak kata pepatah "hidup segan mati tak mahu") kerana koperasi tidak mempunyai sumber dana untuk mengisi tabung koperasi.

Permohonan sijil berkenaan telah dibuat bayaran pendaftaran kepada MOF kerana disebabkan teknikal iaitu ada dikalangan ALK yang tidak memberikan salinan Kad Pengenalan. maka permohonan tersebut telah dikembalikan. Kini koperasi terpaksa mnemohon kembali untuk mendapatkan mendapatkan sijil berkenaan. Oleh itu didalam mesyuarat baru-baru ini, saya selaku pengerusi telah meminta kerjasama ALK dan menekankan koperasi perlu mendapatkan sijil tersebut untuk aktivitinya.

Dalam meyuarat tersebut, saya telah menyatakan hasrat meminta kerjasama dan jasa baik En Mohd Noor selaku ALK, dapat memberi ruang supaya koperasi mempunyai pejabat di tempat beliau. Saya merasa cukup terharu kerana beliau telah memperuntukkan ruang pejabat koperasi yang sama tingkat dengan pejabatnya dan akan diubahsuai untuk kegiatan koperasi. Saya bagi pihak koperasi mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan yang diberikan kepada koperasi walaupun beliau adalah merupakan ALK koperasi itu sendiri.

Dalam mesyuarat itu juga saya telah menyentuh beberapa perkara, diantaranya geran SKM dan pinjaman mudah untuk koperasi, permit teksi dan membuka kedai 1 Malaysia tetapi semuanya untuk perhatian dan tindakan susulan. Apa yang perlu saya fokuskan kini adalah dua perkara penting iaitu Sijil MOF dan ruang pejabat koperasi. Jika ini, dapat diperolehi segala aktiviti dapat dilakukan. Insya Allah