Monday, July 09, 2018

Menjadi Tetamu Allah

Pada 13 Ogos 2018 saya berdua bersama isteri saya Normah akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji bagi rukun Islam yang kelima. Sebelum ke tanah suci berikut adalah urutan dari mula sehingga berangkat ke tanah suci:-

Pada 6 November 2017 kami berdua mendapat surat tawaran untuk menunaikan Fardhu Haji (Terpilih) dari surat Tabung Haji bagi musim Haji 1439H/2018M dan berikutnya kami membuat pengesahan kepada TH yang kami berdua bersetuju untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Insya Allah

Dan untuk itu, kami berdua menghadiri kursus anjuran TH di Masjid Ar Rahimiah Klang, yang bermula pada 2 Disember 2017 hingga 24 Mac 2018, walaupun sebelum ini kami telah menghadiri dua kali kursus haji sebagai persediaan ke tanah suci. 

Sebagai menyambung pembelajaran menunaikan haji, TH menganjurkan Kursus Haji Intensif selama 2 hari pada 16 hingga 17 April 2018 (Isnin dan Selasa) di Dewan Masjid Raja Uda, Klang. semua kursus yang kami hadir adalah untuk meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam untuk semua jemaah haji dalam persediaan menuju ke Makahtul Mukarramah semoga memperolehi haji yang mabrur

Persediaan ke Mekah kami dikehendaki membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Pandamaran, Pelabuhan Klang. Di klinik ini semua jemaah haji dikenakan pemeriksaan kesihatan dengan teliti dan kalau gagal satu pemeriksaan kelulusan tidak diberi, tetapi kami berdua dengan izin Allah lulus didalam semua pemeriksaan kesihatan termasuk suntikan meningitis (ACYW135). Terima kasih Ya Allah.

Seterusnya di acara kemuncak, kami berdua dijemput ke Kursus Haji Perdana diperingkat Negeri Selangor selama 2 hari pada 30 Jun dan 1 Julai 2018 iaitu hari Sabtu dan Ahad. Kami adalah diantara seramai 8 ribu bakal jemaah haji yang hadir didalam kursus perdana tersebut. Disini juga tabung haji telah mengaturkan mana-mana jemaah haji yang ingin mendapatkan suntikan tambahan boleh berbuat demikian iaitu suntikan influanza dan suntikan bagi mencegah radang paru-paru. Kedua-dua suntikan ini adalah bayaran persendirian, kami berdua mendapat kedua-dua suntikan yang dikenakan bayaran sebanyak RM180.00. 

Dibawah ini adalah latihan simulasi anjuran TH yang diadakan bagi persediaan bakal-bakal jemaah haji di perkarangan masjid Shah Alam, Selangor. Untuk makluman kami berdua adalah kumpulan Maktab 88.


Latihan melakukan tawaf bersama jemaah haji yang lain



pemandangan dari udara begitu ramai jemaah haji dalam kursus haji perdana



 Normah berjalan di atas rumput kerana jemaah terlalu ramai dan sesak

Kami berdua  Insya Allah berada di Tanah Suci selama 41 hari dan dijangka berangkat balik pada 22 September 2018. Doakan kami berdua semoga pergi dan balik dalam keadaan sihat dan wal'afiat  serta selamat dan mendapat Haji yang Mabrur. Insya Allah