Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa tahun 2011 akan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi dan akan menjelang tahun baru 2012. Setiap kali tiba tahun baru, kita sering bercakap tentang azam dan cita-cita sempena tahun baru. Kali ini kita akan bercakap tentang usia. Kalau dihitung usia, maka usia kita akan meningkat lagi. Oleh itu, perjalanan hidup kita semakin hari, semakin jauh telah kita tinggalkan. Persoalannya, adakah sepanjang perjalanan yang kita lalui, telah banyak kita manfaatkan hidup ini?. Atau ia berlalu begitu sahaja, seumpama air mengalir. Namun begitu, kita harus sedar bahawa semakin hari semakin hampir usia kita menggamit ketuaan. Fikirkan dan renungkanlah, semoga kita insaf dan tidak berkhayal setiap kali menjelma tahun baru...Selamat menyambut tahun 2012.
Berita terkini dan semasa mengenai aktiviti koperasi & pesara keselamatan TNB
Sunday, December 25, 2011
Saturday, December 17, 2011
Menghadiri Majlis Walimahtulurus Anak En. Dzahiruddin di Chemor Perak
Hari ini saya menghadiri undangan En. Dzahiruddin Hambali Ketua Gerakan Negeri Pulau Pinang dalam majlis walimatulurus anak lelaki beliau. Kenduri tersebut diadakan di rumah beliau di Chemor Perak. Perjalanan dari Klang ke Chemor mengambil masa hampir 3 jam. sampai dirumah beliau lebih kurang 1.20 tengahari. Itu pun saya berjanji dan bertemu dengan Hj. Ibrahim Mohamed untuk pergi bersama dan beliau menunggu saya di Plaza Tol Ipoh Selatan, kerana ke rumah Encik Dzahiruddin, sebenarnya saya tidak tahu? Perjalanan ke destinasi menjadi mudah, saya mengekori kereta Hj. Ibrahim. Sampai di rumahnya, saya di sambut oleh ayah pengantin Encik Dzahiruddin sendiri dan mempersilakan saya ke khemah bersama keluarga untuk menikmati jamuan yang telah disediakan.
Ramai rakan-rakan yang sama-sama ketika bertugas hadir dalam majlis tersebut kebanyakan anggota kerja dibawah En Dzahiruddin. saya mengambil kesempatan berjumpa dan bertanya khabar dengan mereka kerana ada diantaranya yang masih lagi berkerja dan tidak kurang juga yang sudah bersara. Untuk kenangan saya abadikan gambar-gambar kedalam blog ini untuk ingatan masa mendatang.
Sunday, November 27, 2011
Mesyuarat ALK pertama bagi sessi 2011/12
Pada 26 November 2011 koperasi telah mengadakan mesyuarat ALK selepas mesyuarat agung yang telah diadakan pada 29 Oktober 2011. Sepatutnya mesyuarat ALK diadakan selepas mesyuarat berkenaan, tetapi tidak dapat diadakan kerana sebahagian daripada anggota koperasi ada urusan masing-masing, tambahan pula pada bulan November dan seterusnya ke bulan Disember memang terdapat banyak diantara mereka mengadakan kenduri walimahtul-urus. Mesyuarat ALK ini telah diadakan dibilik Pejabat Naluri Rasa, Taman Bukit Jati Klang pejabat urusan Encik Mohd. Noor salah seorang ALK koperasi.
Mesyuarat yang dimulakan pada jam 9 pagi telah dihadiri beberapa orang ALK yang begitu tinggi komitmen mereka terhadap koperasi. Mereka adalah terdiri daripada saya, Mohd. Noor Zakaria, Hamzah Redza, Johari Sharif dan Puan Normah Sarkawi. ALK yang lain tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis kenduri kahwin saudara mara mereka, antaranya Hj. Ibrahim Mohamed, Hussin Abd. Rahman. Kamaruzzaman Ahmad diberitakan mendapat rawatan perubatan di hospital kerana sakit uraf saraf. Mohamed Othman pula memberi jawapan tidak dapat hadir. Saya rasa mereka ini tidak hadir kerana kedudukan mereka terlalu jauh untuk datang mesyuarat seperti dari dari Ipoh dan Rompin. ALK yang tidak dapat dihubungi adalah Tuan Halim Ishak, N.R. John dan Tuan Hj Ahmad Rusli Ibrahim. Saya tidak tahu apakah status mereka bertiga kini, adakah mereka sakit atau sebaliknya, saya rasa sudah lama saya tidak dapat menghubunginya. Saya berharap Tuan Halim, Tuan Rusli dan John beroleh didalam keadaan sihat dan wal'afiat, mudah-mudahan begitulah.
Walaupun tidak mencukupi korum, kami tetap juga meneruskan mesyuarat, kerana masa amat penting, jika hendak mendapat semua ALK dapat hadir maka semua keputusan tidak dapat diambil. Beberapa keputusan positif telah dicapai dimana mesyuarat ALK yang hadir sebagai ALK teras untuk menggerakkan koperasi. Antara lain keputusan adalah seperti berikut:
1. Encik Mohd. Noor Zakaria akan berusaha untuk menyediakan ruang pejabat koperasi dibangunan yang sama yang menurutnya akan dibeli dengan kos sebanyak RM 300k.
2. Menguruskan segala dokumen untuk mendapat sijil dari kementeriam kewangan dan menyediakan profail koperasi termasuk memberi pinjaman sebanyak RM 50k.
3. Berikrar menjadikan tahun 2012 sebagai tahun untuk memulakan aktiviti dan projek rintis koperasi.
4. Menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat kawalan seperti Syarikat Kawalan Warisan Rantau sebagai satu projek usahasama.
Mesyuarat seterusnya akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang dan ALK diatas adalah menjadi ALK penggerak kemajuan koperasi. Insya'Allah.
Monday, November 14, 2011
Menghadiri Bengkel Pengurusan Perniagaan di MKM
Pada 14 - 16 November 2011 selama 3 hari, saya bersama ALK yang lain menghadiri kursus bengkel yang diadakan di MKM Petaling Jaya. ALK berkenaan adalah saya sendiri, Mohd. Noor Zakaria, Kamaruzzaman Ahmad dan N.R John. Tapi malangnya N. R John tidak hadir. Bagi saya bengkel ini sungguh baik kerana pensyarah diundang khas dari UiTM Shah Alam yang begitu master didalam bidang berkenaan. Beliau adalah Dr. Harlina Suzana Jaafar. Banyak ilmu yang diperolehi dari bengkel tersebut.
Friday, November 11, 2011
Ada Apa Pada Angka
Artikel yang saya tulis pada hari ini adalah hari Jumaat dimana kalender masehi bertarikh 11hb. November 2011. Jika diterjemahkan kepada angka menjadilah ia 11.11.11. Ramai dikalangan kita menjadikan tarikh tersebut untuk mengadakan sesuatu peristiwa yang boleh dingat dan dikenang sampai bila-bila seperti majlis perkahwinan, majlis akad nikah, pertunangan dan sebagainya. Jadi persoalannya ada apakah pada angka sehinggakan kita menunggu pada tarikh tersebut untuk berbuat sesuatu? Tarikh tersebut kebetulan jatuh pada hari jumaat. Mengikut Islam hari jumaat adalah penghulu segala hari, kerana pada hari jumaat berbagai perkara yang Allah SWT ciptakan dan juga berbagai kejadian semuanya pada hari jumaat. Waemah sekalipun dunia ini diberitakan akan dikiamatkan pada hari jumaat. Begitu besar hari jumaat dan ia menjadi penghulu segala hari.
Berbalik pada angka tadi, kenapa kita semuanya menjadikan angka tersebut sebagai satu simbol untuk memperingatkan sesuatu? Bagi saya ia sangat mudah untuk diingati iaitu 111111 dan cantik susunan dan tidak bercampur dengan angka lain melainkan dengan angka satu sahaja. Mungkin kita tidak akan berjumpa dengan angka tersebut sepanjang hidup kita. Kalau nak berjumpa pun pada tahun 3011. Rasa saya tidak ada insan dalam dunia ini yang akan hidup pada tahun tersebut. Kalau ada pun dengan izin dan kehendak Allah SWT sahaja. Wallahualam.
Wednesday, November 09, 2011
Majlis Graduasi Noor Izzuddin
Iddin bergambar dengan skrol nya
Pada hari ini, 9 November 2011, saya bersama isteri saya menghadiri majlis graduasi anak lelaki saya Noor Izzuddin di Kelab Eksekutif Klang. Majlis Graduasi ini adalah bagi pelajar-pelajar tingkat 5 SMK Taman Klang Utama. Aturcara dimulakan pada jam 2.30 ptg hingga 5.30 ptg. Perasmian disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Klang. Inilah pertama kali saya menghadiri majlis gradusi kerana sebelum ini tidak pernah diadakan bagi pelajar-pelajat tingkatan 5. Bagi saya ia sesuatu yang baik untuk memotovasikan pelajar supaya lebih fokus kearah pencapaian yang lebih tinggi dalam bidang akademik. Dengan memakai jubah biasanya untuk pelajar universiti, dengan penuh gaya mereka menerima skrol seolah-olah mereka seorang graduan universiti. Tahniah
Wednesday, November 02, 2011
Koperasi Menghadapi Cabaran
Setelah Koperasi Pekerja & Pesara Keselamatan (KPPK) mengadakan mesyuarat agung ke 3 pada 29 Oktober 2011 maka genaplah 3 tahun tertubuhnya koperasi ini dan kini koperasi memasuki tahun keempat pula dimana tahun ke 4 merupakan satu fasa yang perlu koperasi mengadakan aktivitinya terutama aktiviti untuk mengisi dana kewangannya. Kerana dengan aktiviti ini koperasi akan dapat membina rangkaian urusniaga yang berkonsepkan keuntungan dan pulangan kepada anggotanya.
Namun demikian, bukan mudah untuk memulakan sesuatu projek, ia memerlukan satu komitmen dan daya tahan yang tinggi untuk menjayakan misi dan visi koperasi. Apa yang perlu, kita mesti berani mengharungi cabaran mendatang kerana ini satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita oleh anggota koperasi untuk membina urusniaga. Dalam koperasi mempunyai seramai 12 orang ALK tetapi apa yang berlaku hanya beberapa orang ALK sahaja yang memainkan peranan. Dalam mesyuarat semua memberi cadangan dan idea yang baik, selepas mesyuarat, masing-masing mendiamkan diri. Siapa yang memegang jawatan peneraju utama itulah yang bertanggungjawab, siapa lagi?...........
Tuesday, November 01, 2011
Mendiang M. Manoharan Dalam Kenangan
Manoharan A/L Munusamy (gambar diatas) atau lebih popular dengan nama M. Manoharan. Beliau di beritakan meninggal dunia dalam tidur dan masih lagi dalam perkhidmatan dan akan bersara tidak berapa lama lagi. Beliau saya kenali ketika beliau bertugas di Ibu Pejabat sebaik sahaja beliau dinaikkan pangkat ke Pembantu Keselamatan (Sarjan) bekerja dalam waktu giliran (shift). Semasa diadakan sukan antara kumpulan, beliau adalah merupakan penjaga gol bagi pasukan bolasepak kumpulan B. Kemudian beliau bertukar ke ILSAS Bangi dengan menjawat jawatan Pembantu Keselamatan Kanan (Sarjan Mejar). Semasa di akhir hayatnya beliau bertugas sebagai Pen. KGN dibawah KGN Tuan Hj. Abdul Long. Apabila Tuan Hj. Abd. Razak Long bertukar di Putra Jaya, beliau memangku jawatan KGN Negeri Sembilan.
Beliau seorang yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. Ketika saya berjumpa dengan beliau, beliau masih menegur dan menghormati saya walaupun saya sudah bersara hampir 5 tahun, ini kerana menurutnya beliau menghormati orang lebih tua darinya. Berita ini lambat saya posting kerana baru saya terjumpa gambar beliau ketika menghadiri LDP (latihan Dalam Perkhidmatan) di Port Dickson tahun 2003 yang masih ada dalam simpanan saya.
Saturday, October 29, 2011
Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 KPPK TNB
Pada 29 Oktober 2011 di Quality Hotel City Centre Kuala Lumpur, Koperasi Pekerja & Pesara Keselamatan (KPPK) TNB mengadakan mesyuarat agung kali ke 3. Anggota koperasi yang dijemput kebanyakan tidak hadir walaupun korum mesyuarat mencukupi tapi agak malang kerana anggota tidak mengambil kesempatan daripada mesyuarat tersebut. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh sdr. Mohamad bin Maon berjalan dalam suasana tenang dan penuh muhibbah.
Dalam mesyuarat itu juga, majlis telah mengekalkan Sdra Mohd. Noor Zakaria dan Puan Normah Sarkawi Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan memilih Sdra Kamarulzaman Ahmad bersama sdra Johari Shariff ALK yang baru menggantikan sdra Tan Baba dan Sdra Shahruddin Abdullah Sani. Selepas mesyuarat agung ditangguhkan, Pengerusi sementara sdr Mohamad Maon telah meneruskan mesyuarat ALK pertama bagi memilih jawatan pengerusi, setiausaha dan bendahari serta membincangkan strategik pelan bisnes koperasi. Dalam ucapannya, sdr Mohamad Maon telah menyatakan bahawa beliau ingin mengundur diri dan tidak berminat untuk menjadi pengerusi, biarlah dia menjadi ALK biasa sahaja. Namun mesyuarat tersebut merayu supaya sdr Mohamad Maon memimpin koperasi ini kerana menurut majlis, mereka tidak melihat ALK yang lain berkemampuan untuk mengambil alih koperasi. Pemilihan setiausaha dan bendahari tidak dibuat kerana majlis akan menetapkan satu tarikh yang lain bagi membincangkan dalam mesyuarat ALK dalam masa yang terdekat.
Senarai penuh ALK koperasi
1. Mohamad bin Maon
2. Mohamed bin Othman
3. N.R John
4. Halim bin Ishak
5. Hj. Ibrahim bin Mohamed
6. Hj. Ahmad Rusli bin Hj. Ibrahim
7. Hamzah bin Redza
8. Hussin bin Hj. Abdul Rahman
9. Mohd. Noor bin Zakaria - dipilih semula
10. Normah binti Sarkawi - dipilih semula
11. Kamarulzaman bin Ahmad - lantikan baru
12. Johari bin Sharif - lantikan baru
Akhir sekali, saya bagi pihak koperasi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diatas sumbangan pembiayaan mesyuarat agung ini iaitu Encik N. R John, Encik Hamzah Redza dan paling banyak menyumbang ialah Encik Mohd. Noor Zakaria. Semua budi baik mereka ini akan kita kenang sampai bila-bila.
Thursday, October 06, 2011
Perunika dan Koperasi
Semasa saya didalam perkhidmatan, anggota keselamatan dengan persetujuan pihak jabatan telah bersetuju untuk menubuhkan persatuan atas nama PERUNIKA (Persatuan Unit Keselamatan). Perunika diwujudkan adalah untuk menjadi perantara antara pekerja dengan jabatan dalam hal kebajikan. Ketika itu, saya belum lagi berkhidmat dengan LLN, saya mula berkhidmaf dengan LLN pada November 1979 dengan mendapat latihan di SJ Lemal Pasir Mas Kelantan. Dan saya difahamkan ketika saya masuk LLN, Perunika baru sahaja ditubuhkan, YDP Encik Zakaria dan Setiausaha Agung Encik Abd. Ghani. Penubuhannya tidak berjalan dengan lancar kerana perunika tidak mendapat pengiktirafan dari pihak pengurusan LLN walau pun ada usaha-usaha kearah itu. Ramai anggota merungut kewujudan perunika tidak berfungsi.
Dalam mesyuarat agung tahun 1982, Beberapa jawatan penting dalam persatuan bertukar tangan dengan kendalian muka-muka baru. Antaranya Zubir Daharun sebagai YDP, K. Murugesu NYDP, Mohamad Maon Setiausaha Agung dan beberapa muka baru mengambil-alih kepimpinan Perunika. Di sinilah bermula perjuangan perunika yang sebenarnya. bersambung.....
Wednesday, October 05, 2011
Mesyuarat ALK ke 6
Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB (KPPK) telah mengadakan mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi (ALK) ke 6, di Pejabat Encik Mohd. Noor Zakaria iaitu dibilik mesyuarat Naluri Rasa, No 20 A, Tingkat 1, Taman Bukit Jati , Klang pada 1 Oktober 2011. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan persiapan mengadakan mesyuarat agung koperasi bagi kali ke 3 penubuhannya. ALK yang hadir adalah saya sendiri sebagai pengerusi, Encik Halim Ishak, Encik Mohd. Noor Zakaria, Encik Hussin Abdul Rahman, Tuan Hj. Ibrahim Mohamed, Puan Normah Sarkawi dan Encik Kamarulzaman Ahmad Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD). Agenda yang dibincangkan adalah memfokuskan kepada mesyuarat agung:-
1. Tarikh dan tempat mesyuarat agung
2. Perlantikan beberapa jawatankuasa kecil
3. Jemputan VIP & wakil dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
4. Pemberitahuan Mesyuarat Agung kepada semua anggota koperasi
5. Penyediaan laporan aktiviti, minit mesyuarat agung & penyata kewangan koperasi
6. Penyediaan jamuan ringan dan makan tengahari
Walaubagaimanapun mesyuarat telah melantik ALK bagi bertanggungjawab dalam jawatakuasa-jawatankuasa berikut:
1. Mohamad Maon - Pengerusi
2. N.R. John - J/kuasa Pengurusan Tempat Mesyuarat
3. Hussin Abdul Rahman - J/kuasa Sambutan
4. Mohamed Othman - J/kuasa Pendaftaran
5. Mohd. Noor Zakaria - J/kuasa Makanan dan Minuman
6. Hj. Ibrahim Mohamed - Juruacara Majlis
Berikut juga adalah kelulusan yang dipersetujui oleh ALK antara lain adalah:
1. Tarikh mesyuarat agung - 29 Oktober 2011 (sabtu)
2. Tempat - belum ditentukan
3. Masa - 09.30 pagi - 12.30 tengahari
4. Bajet (RM1,500.00) - sumbangan daripada individu dan juga ALK
5. Kehadiran - dijangka seramai 35 orang termasuk jemputan.
Saya bagi pihak koperasi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Mohd. Noor kerana membenarkan kami menggunakan ruang pejabat bagi mengadakan mesyuarat serta kami dijemput pula kerumah beliau untuk menikmati majlis jamuan hari raya yang disediakan. Terima kasih.
Friday, September 30, 2011
Menyambut Ketibaan Aidilfitri 2011 (1432H)
Setelah sebulan, bulan syawal berlalu saya belum ada masa untuk posting berita-berita terutama ketika menyambut Aidilfitri.
Bergambar bersama ustaz Ariffin (tengah) dan Hj Safaruddin (kanan)
Pada pagi syawal kami bersolat sunat aidilfitri di Klang, selepas solat sunat berangkat ke Melaka sekeluarga dengan menaiki dua buah kereta melalui lebuhraya Plus. Dalam perjalanan kami singgah di Teras Jernang, Bangi rumah Ustaz Ariffin guru kami yang mengajar tauhid dan tasawuf. Itulah rumah yang pertama kami singgahi untuk beraya. Di rumah Ustaz Ariffin kami menikmati juadah yang dihidang oleh isterinya Ustazah Aidah. Selepas makan kami bergambar dan bersalaman dan bermaafan dan kami meneruskan perjalanan ke Melaka.
keluarga kami bergambar dengan ustaz Ariffin dan isterinya
Di rumah kakak di Kg Gelam, Melaka
Di Melaka kami sekeluarga bermalam dirumah sewa Ezzah di Pengkalan Rama, anak kami yang keempat yang belajar di UiTM Bandaraya Melaka dalam semester 4 jurusan akaun. Dua hari di Melaka, kami mencari kedai makan untuk menukar selera. Dalam perjalanan, di Lereh, ada sebuah kedai makan yang dibuka, saya berfikir mana ada kedai makan yang dibuka sementelah lagi pada dua hari raya. Kami sekeluaga singgah dan makan roti canai dan mee rebus.
Pada raya ke 3, kami berangkat balik ke Klang dan keesokannya kami terus ke Sabak Bernam, kampong isteri saya. Kami tidak bermalam di sana, tapi beraya dari pagi sampai petang. Perjalanan balik kami singgah di rumah Puan Ainun di Parit 9, Sekinchan, penjual kerepak ubi dan pisang yang selalu kami beli melalui tempahan.
Walaupun begitu, kemeriahan hari raya tetap ceria pada minggu pertama syawal kerana minggu kedua, isteri saya tiba-tiba diserang penyakit urat saraf dimana penyakit tersebut membuatkan diri yang kena tidak selesa, berdiri, duduk, baring dan apa sahaja semua terasa sakit dan ditambah dengan denyutan berbisa. Mereka yang mengalami sahaja yang tahu bagaimana sakitnya. Bahkan rumah jiran terdekat kiri dan kanan tak dapat dikunjungi seperti kebiasaan tahun-tahun yang lepas.
Normah duduk sahaja tidak boleh bergerak kemana-mana
Perancangan mengadakan rumah terbuka terpaksa diteruskan kerana semua makanan dan laukpauk telah ditempa dengan katering. Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur kepada Allah dalam keadaan isteri saya sakit masih meneruskan perancangan yang dibuat. Alhamdulillah, ramai saudara mara, sahabat handai dan jiran datang sempena Rumah Terbuka sehingga tengah malam.
Wednesday, August 17, 2011
Kebun Buah Pulasan
Sempena cuti Nuzul Qur'an di Selangor pada 17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadan 1432, saya berdua dengan Normah isteri saya mengambil kesempatan untuk pulang ke Melaka walaupun baru sahaja kami balik ke Melaka. Kali ini, saya ke Melaka atas jemputan sepupu saya sebelah emak bernama Samadi untuk merasa buah pulasan yang sedang ranum masak di pokok hasil usaha beliau menanam sebanyak 100 batang pokok berkenaan. Setiba saya di rumahnya, isterinya membawa saya ke kebun untuk melihat dan memetik buah di mana Samadi telah lebih awal berada di kebunnya.
Walaupun dalam bulan ramadan semua pokoknya berbuah, inilah berkat berbudi pada tanah, Allah beri ganjaran hasil yang lumaian. Sungguhpun begitu kami tidak dapat merasakan keenakan buahnya kerana kita sedang menjalani ibadah puasa. Kita terpaksalah menunggu diwaktu berbuka.
Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kita dapat menikmati hasil usaha Samadi menjadi petani moden. Terima kasih pada Samadi yang telah membekalkan saya untuk dibawa balik bersama buah pulasan, rambutan, jantung pisang, limau nipis dan ulam-ulaman pucuk 'tenggek burung'. Alhamdulillah.. budi baiknya tak dapat saya membalasnya, melainkan Allah sahaja lah yang dapat membalasnya. Insya' Allah
isteri saya sedang membawa buah rambutan dan pulasan yang baru di petik
Monday, August 08, 2011
Menaiki Monorel di Melaka
Sehari sebelum menyambut bulan Ramadhan iaitu pada 30 Julai 2011, saya ke Melaka untuk melihat saudara-mara di kampong dan juga melihat rumah dan kebun yang telah lama ditinggalkan. Sejak kedua-dua ibu bapa telah tiada saya jarang sekali balik ke kampong. Secara kebetulan saya balik ke kampong, pokok rambutan hasil tanaman dan peninggalan arwah bapa, semuanya berbuah, saya rasa tidak lebih dari 9 batang pokok yang berbuah dengan berlainan rasa. Saya bersama keluarga memetik buah sehingga memenuhi ruang bonet kereta untuk dibawa balik ke Klang. Terima kasih pada arwah bapa yang telah berusaha menanam dan hasilnya dapat dinikmati bersama oleh anak dan cucunya. Al-Fatihah kepada arwah bapa dan emak yang telah dijemput oleh Allah SWT. Moga-moga kedua arwah bapa dan emak ditempatkan bersama dengan para salihin dan orang-orang beriman...Insya 'Allah.
Sebelum itu, saya ke bandar Melaka untuk melihat rumah sewa anak perempuan saya yang belajar di UiTM Bandaraya Melaka. Kebetulan rumah sewanya berhampiran dengan perkhidmatan monorel untuk pelancong yang baru dibina oleh Kerajaan negeri Melaka. Kami menaiki monorel dengan tambang dewasa seorang RM10 bagi satu perjalanan pergi balik selama 20 minit. Dengan menyusuri Sg. Melaka maka kelihatan panaroma yang sangat menarik dengan berlatarbelakang Kg Morten yang cantik dengan lankskap yang tersusun atur sungguh indah menikmati pemandangan sebegini. Kami sempat merakamkan gambar semasa didalam monorel.
bergambar berlatarbelakang monorel
Tuesday, August 02, 2011
Selamat Berpuasa
Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana agak lewat (kerana telah masuk hari kedua berpuasa) untuk mengucapkan selamat berpuasa sempena ketibaan Ramadhan Al MubaraK 1432 Hijriah. Apa yang pentingnya, kita dapat menunaikan rukun Islam yang ke 3 dengan penuh aman dan damai dalam negara ini yang mengamalkan budaya dan cara hidup Islam. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT kerana melimpahkan anugerah negara kita dalam situasi aman dan damai.
Bercakap mengenai puasa, semua umat Islam tahu daripada niat sehingga berbuka puasa, jaga adab sopan ketika berpuasa termasuk mata, telinga, mulut dan segala-segala semuanya berpuasa. Yang terlebih penting dalam berpuasa mesti ada keikhlasan dan amanah. Tanpa keikhlasan dan amanah, puasa akan menjadi tidak sempurna dan sia-sia. Tidak perlu dihuraikan mengenai keikhlasan dan amanah, kalau nak dihuraikan ia agak panjang, bukan itu sahaja bersolat adalah penting kerana menegakkan agama termasuk sunat terawih dan membaca Al'Quran.
Selamat berpuasa semoga dengan berpuasa dapat meningkatkan amalan dan keimanan kita, Insya'Allah.
Sunday, July 24, 2011
Menziarahi Hj Sufian di Taman Seremban 2
Sebaik sahaja selesai kami mengadakan mesyuarat ALK jam 12.45 tengahari pada 23 Julai 2011 di Seremban 3, kami bergerak menuju ke rumah Hj. sufian yang sakit akibat kemalangan jalan raya di Seremban, kini dikhabarkan beliau beransur pulih dan sihat. Rombongan kami tiba agak lewat ke rumah beliau kerana kami berpusing-pusing untuk mencari arah dan alamat rumah beliau tetapi tetap tidak berjumpa. Oleh itu, salah seorang dari rombongan kami membuat panggilan telefon ke rumah beliau supaya mengambil kami di suatu tempat. Akhirnya, Alhamdulillah kami tiba dirumah Hj Sufian jam 1.45 tengahari. Kami bertemu dan bersalaman dengan beliau walaupun beliau belum pulih sepenuhnya dari kecederaan. Beliau berjalan dengan mengguna tongkat pengimbang untuk beliau berjalan. Beliau kelihatan kurus dan agak ceria apabila mengetahui kami akan menziarah beliau.
Kami lebih terharu lagi apabila keluarga beliau menyediakan jamuan makan tengahari untuk rombangan kami. Hidangannya agak simple tapi kami berselera menikmati jamuan yang disediakan termasuk layanan dari isterinya Puan Rubiah dan kedua-dua anak perempuan beliau yang baik hati dan ramah mesra. Walaupun pertemuan agak singkat, kami semua mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana sambutan yang diberikan dan berdoa kepada Allah SWT semoga Hj Sufian beroleh kesihatan sebagaimana kesihatannya semasa sebelum mendapat kemalangan. Insya Allah. Saya sempat merakamkan gambar ketika berada di rumah Hj. Sufian.
Kami lebih terharu lagi apabila keluarga beliau menyediakan jamuan makan tengahari untuk rombangan kami. Hidangannya agak simple tapi kami berselera menikmati jamuan yang disediakan termasuk layanan dari isterinya Puan Rubiah dan kedua-dua anak perempuan beliau yang baik hati dan ramah mesra. Walaupun pertemuan agak singkat, kami semua mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana sambutan yang diberikan dan berdoa kepada Allah SWT semoga Hj Sufian beroleh kesihatan sebagaimana kesihatannya semasa sebelum mendapat kemalangan. Insya Allah. Saya sempat merakamkan gambar ketika berada di rumah Hj. Sufian.
Mesyuarat ALK di Seremban
Pada 23 Julai 2011 Koperasi Pekerja & Pesara Keselamatan TNB (KPPK) telah mengadakan mesyuarat ALK ke 5 di Seremban iaitu di bilik mesyuarat Warisan Rantau di 564, Jalan Haruan 4/7 Oakland Seremban 2, Seremban. Mesyuarat kali ini telah di'host'kan oleh Encik Hamzah Redza salah seorang ALK Koperasi. Mesyuarat yang telah dimulakan jam 11 pagi telah dipengerusikan oleh sdr. Mohamad Maon. Dalam ucapannya, Pengerusi telah menyampaikan ucapan dengan perasaan terharunya kerana En. Hamzah telah menyediakan ruang tempat mesyuarat yang selesa selain dari menyediakan makanan untuk ALK yang hadir. Kita sedar bahawa koperasi sejak tertubuhnya 3 tahun yang lepas sehingga kini koperasi tidak mempunyai bangunan sendiri apalagi kemudahan bilik mesyuarat, jadi terpaksa bermesyuarat dari satu tempat ke satu tempat yang lain bagi membolehkan koperasi memenuhi tuntutan UUK dan Akta Koperasi.
Dalam mesyuarat tersebut Pengerusi telah melahirkan kekesalan bahawa sambutan untuk mengadakan setiap kali mesyuarat, agak kurang mendapat sambutan dari kalangan ALK, ini mungkin terdapat anggota mempunyai komitmen mereka dengan urusan peribadi lebih berkeutamaan. Terdapat juga, masalah yang tidak dapat dielakkan dan kita kena terima hakikat bahawa perancangan mengadakan mesyuarat serentak dengan keadaan peristiwa yang mereka hadapi. Umpamanya hal kematian, urusan pekerjaan dan lain-lain lagi.
Mesyuarat tersebut membincangkan beberapa agenda termasuk aktiviti koperasi selain dari membincangkan mengenai persediaan untuk mengadakan mesyuarat agung pada bulan Oktober 2011.
Dalam mesyuarat tersebut Pengerusi telah melahirkan kekesalan bahawa sambutan untuk mengadakan setiap kali mesyuarat, agak kurang mendapat sambutan dari kalangan ALK, ini mungkin terdapat anggota mempunyai komitmen mereka dengan urusan peribadi lebih berkeutamaan. Terdapat juga, masalah yang tidak dapat dielakkan dan kita kena terima hakikat bahawa perancangan mengadakan mesyuarat serentak dengan keadaan peristiwa yang mereka hadapi. Umpamanya hal kematian, urusan pekerjaan dan lain-lain lagi.
Mesyuarat tersebut membincangkan beberapa agenda termasuk aktiviti koperasi selain dari membincangkan mengenai persediaan untuk mengadakan mesyuarat agung pada bulan Oktober 2011.
Pengerusi berada di restoran nasi kukus bersama isteri yang juga ALK untuk menjamu selera di Taman Oakland Seremban 2
Friday, July 15, 2011
Menghadiri Perkahwinan Anak Hussin di Tapah Road
;
Pengantin Perempuan adalah anak Hussin bergambar dengan suaminya
Baru-baru ini saya menghadiri undangan majlis walimahtul-urus anak bekas pesara keselamatan Encik Hussin bin Abdul Rahman pada 10 Julai 2011 di Tapah Road. Secara kebetulan pada tarikh tersebut saya menghantar anak saya Nazatul Shima ke UiTM Sri Iskandar untuk berjumpa dengan advisor bagi menyediakan thesis ketika membuat latihan amali (praktikal) di TNB. Ketika saya tiba dirumah Hussin adalah pada waktu puncak dimana ramai kalangan rakan-rakan dalam TNB turut hadir dalam majlis tersebut disamping ketibaan pengantin lelaki. Anak saya sempat merakamkan gambar suasana majlis berkenaan untuk dimuatkan dalam blog ini.
bersama dengan Hussin tuan rumah
Sunday, June 19, 2011
Mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi Pekerja & Pesara Keselamatan TNB
Semalam 19 Jun 2011 (Ahad) mesyuarat ALK yang dirancang dapat dijayakan walaupun sudah hampir 4 bulan mesyuarat ALK tidak dapat diadakan walaupun jadual tarikh mesyuarat dan tempat telah diedarkan, namun mesyuarat tetap tidak dapat diadakan kerana ALK mempunyai komitment masing-masing. Pada mulanya mesyuarat akan diadakan di Glory Beach Resort PD kerana tempahan bilik mesyuarat telah dibuat dan dibatalkan disaat akhir dan bercadang untk bermesyuarat di Pejabat Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) PD pun tidak menjadi. Pertukaran tempat ini dibuat kerana beberapa orang ALK tidak dapat hadir yang mungkin tidak mencukupi korum mesyuarat. Akhirnya keputusan diambil untuk mengadakan mesyuarat di Bungalow TNB PD yang secara kebetulan saya bersama keluarga berehat Bungalow tersebut. Korum mesyuarat yang diadakan mencukupi seramai 6 orang ALK telah hadir yang mana ALK koperasi seramai 12 orang. Ini bermakna mengikut UUK ianya melayakkan mesyuarat diadakan dan boleh mengambil sebarang keputusan yang berkaitan polisi koperasi.
ALK yang hadir didalam mesyuarat berkenaan adalah terdiri daripada:
1. Mohamad Maon -Pengerusi
2. N. R. John - Bendahari
3. Mohd. Noor Zakaria
4. Normah Sarkawi
5. Hj Ahmad Rusli Hj. Ibrahim
6. Hamzah Redza
ALK yang tidak hadir atas beberapa sebab>
1. Mohamed Othman - kursus jabatan
2. Halim Ishak - berada diluar negara (USA)
3. Hussin Abd. Rahman - kursus Haji Perdana di Ipoh
4. Tan Baba - berada di Sarawak urusan perniagaan
5. Sharuddin Abdullah Sani - Urusan mesy di RISDA
6. Hj. Ibrahim Mohamed - isterinya kurang sihat
Mesyuarat telah dimulakan pada jam 10.30 pagi. Beberapa aktiviti koperasi telah dibincangkan antaranya seperti berikut:
1. Bersetuju untuk menjayakan projek usahasama dengan syarikat Warisan Rantau yang telah memasuk tender bagi kawalan keselamatan di UNITEN Bangi dan TNB Wilayah Persekutuan
2. Bersetuju untuk menjalankan projek yang tidak melibatkan kawalan keselamatan seperti cuci bangunan, landskaping, potong rumput dan sebagainya, apabila sijil dari kementerian Kewangan diperolehi dalam tempoh terdekat termasuk menyediakan profil syarikat.
3. Merancang dan mengadakan mesyuarat agung tahunan yang dijangkakan pada bulan oktober 2011 dalam tempoh 6 bulan daripada berakhir penyata kewangan pada 30 April setiap tahun.
4. Memohon Lesen Kawalan Keselamatan dengan Kementerian Dalan Negeri (KDN)
5. Membuka satu AKAUN BARU koperasi - Maybank - untuk dana sementara dari Encik Mohd. Noor sebanyak RM50,000 dengan pemegang akaun iaitu setiausaha, bendahari dan encik Mohd. Noor Zakaria.
6. Mengadakan perjumpaan dengan Pengurus Besar Kanan (Korporat) Tuan Hj. Jailani sebelum 30 Jun 2011.
Mesyuarat di tangguhkan pada 12.05 tengahari dan mesyuarat seterusnya akan ditentukan kemudian.
Monday, June 13, 2011
Menghadiri Majlis Kenduri Kahwin di Stadium Bukit Jalil
Pada 11 Jun 2011 saya bersama keluarga menghadiri majlis kenduri kahwin anak rakan seperjuangan ketika sama berkhidmat didalam tentera iaitu PWI Mac Clean. Jemputan majlis tersebut melalui Mej Isnin atas nama 'kiambang bertaut' bagi bekas Anggota 8 Rejimen Askar Melayu Di Raja (RAMD). Majlis diadakan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, di Dewan Commanwealth. Secara kebetulan pada hari tersebut di stadium bukit jalil diadakan perlawanan akhir bolasepak piala FA antara Kelantan dengan Terengganu.
Ketika saya ke majlis tersebut jalan masuk ke stadium sesak dengan kenderaan penyokong kedua-dua pasukan yang menyebabkan perjalan ke majlis tersebut terganggu. Hampir setengah jam saya melalui kesesakan baru saya sampai ke majlis tersebut. Disana telah ada beberapa anggota bekas 8RAMD antaranya Tuan Hj Kamaruddin, Tn Hj Mat Som dan beberapa rakan yang lain, saya bersalaman dengan mereka.
Ketika saya ke majlis tersebut jalan masuk ke stadium sesak dengan kenderaan penyokong kedua-dua pasukan yang menyebabkan perjalan ke majlis tersebut terganggu. Hampir setengah jam saya melalui kesesakan baru saya sampai ke majlis tersebut. Disana telah ada beberapa anggota bekas 8RAMD antaranya Tuan Hj Kamaruddin, Tn Hj Mat Som dan beberapa rakan yang lain, saya bersalaman dengan mereka.
Saya bersama keluarga dijemput untuk kedewan makan VIP dimana terletak pelamin kedua mempelai. Dimeja VIP saya berkesempat makan bersama Datuk Zulkefles Embong Pengarah MSN dan Datuk Lee Chong Weh Pemain badminton No 1 dunia. Kami berkesempatan merakam gambar sebagai kenangan.
Tuesday, May 24, 2011
Usahasama Koperasi dengan Syraikat Warisan Rantau
Pagi tadi 25 Mei 2001 jam 10.30 pagi, saya telah berbincang dengan wakil Syarikat Warisan Rantau. Perbincangan tertumpu mengenai untuk memasuki tender kawalan keselamatan di premis TNB. 2 orang wakil dari syarikat warisan iaitu Pengerusi nya Cikgu Ramli , Encik Nurul Azmi Akauntan dan saya bersama Hamzah Redza mewakili koperasi. Di dalam perbincangan tersebut kami berbincang mengenai kadar RM bagi satu jam di Wilayah Persekutuan. Garis panduan yang telah dikeluarkan bagi pengawal tanpa senjata (statik Guard) sebanyak RM 7.50 sejam dan pengawal bersenjata sebanyak RM15.50 sejam.
Saya difahamkan, kerjasama ini akan membolehkan koperasi mengisi dana kewangan koperasi jika syarikat tersebut memenangi tender di dua buah tempat iaitu Uniten Bangi dan TNB Wilayh Persekutuan. Adalah diharapkan usahasama ini akan berterusan dan memberikan manfaat kepada koperasi amnya dan anggota koperasi khasnya. Insya'Allah.
Monday, May 23, 2011
Menghadiri Konvo di PUO
Isteri saya bergambar kenangan dengan Nurul dan Ibunya
Kelmarin 21 Mei 2011 hari sabtu, saya berdua dengan isteri pergi ke Ipoh kerana menghadiri konvokesyen menantu perempuan saya menerima diploma di Politeknik Ungku Omar (PUO). Sebenarnya saya tidak tahu, dimana letaknya politeknik tersebut. Bak kata orang saya main redah sahaja kerana Ipoh bukan tempat saya walaupun telah beberapa kali masuk kebandar Ipoh, saya tetap tidak mengingati jalan kemana halatujunya.Saya daripada Klang menggunakan Plus Highway dan masuk melalui Simpang Pulai. Sampai di Simpang Pulai melalui Medan Gopeng untuk ke Ipoh dan menggunakan jambatan, sepatutnya saya tidak menggunakan jambatan dan mengikuti susur tepi dan belok kekanan akibatnya saya telah tersasar jalan sampai ke Hotel Excelsior. Sampai disitu, saya bertanya di kedai minyak untuk mendapat panduan jalan ke politeknik tersebut. Dengan baik hati tokey kedai minyak tersebut menunjuk arah jalan ke Politeknik. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana telah sudi menunjuk jalan dengan saya mengekori kereta mercedes 320 dibelakangnya.
Sampai di politeknik saya duduk dikhemah yang disediakan kepada keluarga yang hadir bersama bagi meraikan mereka yang meneriama diploma dan sijil. Saya lihat di tv yang dipancarkan diluar YBhg. Dato' Sri Che Khalib CEO TNB sedang menyampaikan ucapan kepada para graduan. Cuaca diluar ketika itu mendung menandakan hujan akan turun. Tidak beberapa minit kemudian hujan turun dengan lebatnya. Jadi kami semua tidak boleh bergerak kemana-mana hanya duduk didalam khemah melihat tv penyampaian diploma kepada graduan oleh Ybhg. Dato Sri Che Khalib.
Sampai di politeknik saya duduk dikhemah yang disediakan kepada keluarga yang hadir bersama bagi meraikan mereka yang meneriama diploma dan sijil. Saya lihat di tv yang dipancarkan diluar YBhg. Dato' Sri Che Khalib CEO TNB sedang menyampaikan ucapan kepada para graduan. Cuaca diluar ketika itu mendung menandakan hujan akan turun. Tidak beberapa minit kemudian hujan turun dengan lebatnya. Jadi kami semua tidak boleh bergerak kemana-mana hanya duduk didalam khemah melihat tv penyampaian diploma kepada graduan oleh Ybhg. Dato Sri Che Khalib.
Nurul bersama suaminya Khairil selepas konvo
Selepas selesai konvo saya terjumpa rakan sekerja saya en Tomsol Morno yang sama belajar ketika bekerja mengambil diploma pengurusan keselamatan di KL. Beliau turut serta kerana meraikan konvo anak perempuan beliau. Dari perbualan beliau dengan saya bahawa beliau baru saja bersara dari perkhidmatan dan beliau menanyakan saya berapa lama dah bersara, saya katakan padanya bahawa saya bersara baru saja iaitu 6 tahun. Dia terkejut kerana masa berlalu terlalu pantas.
Bergambar dengan Tomsol dan isteri
Untuk itu bagi kenangan saya didalam konvo tersebut saya bergambar dengan penerima diploma menantu perempuan saya dan encik Tomsol seperti dalam gambar yang diabadikan.
Selepas selesai konvo saya terjumpa rakan sekerja saya en Tomsol Morno yang sama belajar ketika bekerja mengambil diploma pengurusan keselamatan di KL. Beliau turut serta kerana meraikan konvo anak perempuan beliau. Dari perbualan beliau dengan saya bahawa beliau baru saja bersara dari perkhidmatan dan beliau menanyakan saya berapa lama dah bersara, saya katakan padanya bahawa saya bersara baru saja iaitu 6 tahun. Dia terkejut kerana masa berlalu terlalu pantas.
Bergambar dengan Tomsol dan isteri
Untuk itu bagi kenangan saya didalam konvo tersebut saya bergambar dengan penerima diploma menantu perempuan saya dan encik Tomsol seperti dalam gambar yang diabadikan.
Saturday, May 14, 2011
Koperasi & Permasalahan
Sejak akhir-akhir ini koperasi tidak langsung bergerak, ini disebabkan ALK tidak berperanan hanya terdapat beberapa orang ALK yang masih berminat untuk mengetahui perkembangannya. Mesyuarat juga sudah hampir 3 bulan tidak dapat diadakan kerana keadaan yang tidak mengizinkan walaupun penjadualan mesyuarat telah dirancang dan diedar kepada semua ALK lebih awal tetapi sebahagian daripada mereka mempunyai komitmen yang lain. Kalau mesyuarat dijalankan juga mengikut jadual mungkin kehadiran ALK tidak mencukupi korum, ini masalahnya.
Jawatakuasa yang menguruskan pendaftaran koperasi dengan Kementerian Kewangan sehingga sekarang sudah hampir 5 bulan masih belum memperolehi sijil yang memboleh dan melayakkan koperasi menjalani urusniaga. Saya sebagai pengerusi tidak tahu dimana silapnya.
Koperasi tidak mempunyai dana untuk memasuki tender bagi perkhidmatan kawalan keselamatan di mana-mana premis TNB. Bagi tujuan tersebut, koperasi mengadakan usahasama dengan syarikat kawalan swasta dan memasuki tender namun sehingga ke hari ini tidak ketahui samada berjaya atau tidak.
Walau bagaimana pun kita memang sedar untuk mengaktifkan koperasi perlukan pengorbanan tenaga, idea dan wang ringgit, bukan mudah sebagaimana yang kita jangkakan.
Saya sebagai pengerusi telah berusaha segala tenaga dan idea yang ada, untuk membangunkan koperasi sehingga matlamat penubuhannya tercapai. Insya Allah.
Monday, May 09, 2011
Menghadiri Kursus Asas Membangunkan Laman Web
Pada 9 hingga 12 Mei 2011, saya mengikuti kursus IT 'Asas Membangunkan Laman Web' di MKM Petaling Jaya yang dihadiri seramai 37 orang peserta (gambar di atas) dari berbagai koperasi. Kursus yang diadakan selama 4 hari telah mendedahkan kepada peserta untuk mereka bentuk laman web diperingkat asas dan ia juga memberi banyak manfaat serta pengetahuan dan ilmu untuk membina laman web sendiri. Tenaga pengajar yang terdiri daripada Puan Rosidah Rashid dan Puan Mastura Md. Jais dengan sabar mengajar sebahagian daripada anggota veteran yang lambat 'pick-up' untuk menunjukajar kepada mereka bak kata pepatah 'tak dapat banyak sedikitpun jadilah'. Ilmu IT ini, kalau setakat belajar je tidak akan menjadi dan ia akan lupa kalau tidak diamalkan selalu .
Sunday, May 01, 2011
Perjumpaan dengan penterjemah buku 'Ana Al Haq'
Semalam 30 April 2011, kami seramai 10 orang dari usrah An-Nur TNB turut serta melawat dan berjumpa dengan Encik Abd Majid bin Khatib penterjemah buku 'Ana Al Haq' di Sitiawan. Perjumpaan tersebut telah dirancang dan diatur oleh Usrah Induk Darul Ikhlasiah Bangi yang mana beberapa usrah yang bergabung dengannya telah turut serta. Seramai 40 ahli usrah hadir dalam perjumpaan tersebut. Rombongan kami yang datang semuanya dengan berkenderaan sendiri samada berkongsi kereta atau memandu dengan keluarga.
Perjumpaan telah diadakan di rumah sepupu beliau di Taman Serdang Sitiawan. Dalam perbualan saya dengan beliau, beliau menceritakan latar belakang beliau secara ringkas. Beliau adalah pesara dari Dewan Bandaraya Ipoh(DBI), kini beliau berusia 69 tahun (10 Julai 1942). Mula menulis dan menterjemah buku pada tahun 1970 iaitu buku 'The Secret of Ana Al Haq' semasa beliau dalam perkhidmatan dengan DBI dan beberapa buah buku lagi yang berjumlah sebanyak 22 buah yang antara lain buku Rahasia Sufi dan Bicara Sufi.
Bergambar dengan En Majid Khatib pentermah buku The Secret of Ana Al HaqTuesday, April 26, 2011
Melawat Pameran Tentera Laut di Lumut
Pada hari minggu yang lalu tanggal 24 April 2011, saya dengan isteri saya tanpa disangka kami pergi ke Lumut. Sebenarnya jadual perjalanan kami bukannya ke Lumut, kami pergi ke Sri Iskandar menghantar anak yang belajar di UiTM disana. Dalam perjalanan balik ke Klang kami melalui lebuhraya ke Sitiawan dan dari sana kami fikir jalan bertambah dekat hendak ke Sabak Bernam daripada melalui Kg Gajah dan Teluk Intan. Setibanya di Sitiawan kami berdua terus ke Lumut yang tidak berapa kilometer sahaja. Di Lumut memang terkenal banyak makanan laut selain terkenal dengan nama Bandar Tentera Laut.
Kami meronda sekitar pekan Lumut, tanpa disangka kami singgah di pameran Tentera Laut (navy) dimana hari tersebut adalah hari akhir pameran diadakan. Banyak alat kelengkapan tentera dipamerkan selain daripada berbagai-bagai jenis senjata, uniform, jenis-jenis peluru dan lain-lain. Sebagai mengingati sempena pameran tersebut kami membeli beberapa cenderahati untuk dibawa pulang iaitu payung, baju 't' dan key chain sebagai kenangan. Kami sempat merakamkan beberapa keping gambar sempena lawatan tersebut.
Kami meronda sekitar pekan Lumut, tanpa disangka kami singgah di pameran Tentera Laut (navy) dimana hari tersebut adalah hari akhir pameran diadakan. Banyak alat kelengkapan tentera dipamerkan selain daripada berbagai-bagai jenis senjata, uniform, jenis-jenis peluru dan lain-lain. Sebagai mengingati sempena pameran tersebut kami membeli beberapa cenderahati untuk dibawa pulang iaitu payung, baju 't' dan key chain sebagai kenangan. Kami sempat merakamkan beberapa keping gambar sempena lawatan tersebut.
segak juga mencuba memakai topi tentera laut, jangan tak percaya...
peralatan senjata yang dipamerkan
Sesudah melawat pameran, kami berdua membeli serba sedikit makanan kering seperti ikan bilis, sotong, ikan pari dan keropok untuk di bawa balik. Sekian kenangan di Lumut
Subscribe to:
Posts (Atom)