Monday, May 23, 2011

Menghadiri Konvo di PUO

Isteri saya bergambar kenangan dengan Nurul dan Ibunya



Kelmarin 21 Mei 2011 hari sabtu, saya berdua dengan isteri pergi ke Ipoh kerana menghadiri konvokesyen menantu perempuan saya menerima diploma di Politeknik Ungku Omar (PUO). Sebenarnya saya tidak tahu, dimana letaknya politeknik tersebut. Bak kata orang saya main redah sahaja kerana Ipoh bukan tempat saya walaupun telah beberapa kali masuk kebandar Ipoh, saya tetap tidak mengingati jalan kemana halatujunya.Saya daripada Klang menggunakan Plus Highway dan masuk melalui Simpang Pulai. Sampai di Simpang Pulai melalui Medan Gopeng untuk ke Ipoh dan menggunakan jambatan, sepatutnya saya tidak menggunakan jambatan dan mengikuti susur tepi dan belok kekanan akibatnya saya telah tersasar jalan sampai ke Hotel Excelsior. Sampai disitu, saya bertanya di kedai minyak untuk mendapat panduan jalan ke politeknik tersebut. Dengan baik hati tokey kedai minyak tersebut menunjuk arah jalan ke Politeknik. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana telah sudi menunjuk jalan dengan saya mengekori kereta mercedes 320 dibelakangnya.

Sampai di politeknik saya duduk dikhemah yang disediakan kepada keluarga yang hadir bersama bagi meraikan mereka yang meneriama diploma dan sijil. Saya lihat di tv yang dipancarkan diluar YBhg. Dato' Sri Che Khalib CEO TNB sedang menyampaikan ucapan kepada para graduan. Cuaca diluar ketika itu mendung menandakan hujan akan turun. Tidak beberapa minit kemudian hujan turun dengan lebatnya. Jadi kami semua tidak boleh bergerak kemana-mana hanya duduk didalam khemah melihat tv penyampaian diploma kepada graduan oleh Ybhg. Dato Sri Che Khalib.


Nurul bersama suaminya Khairil selepas konvo

Selepas selesai konvo saya terjumpa rakan sekerja saya en Tomsol Morno yang sama belajar ketika bekerja mengambil diploma pengurusan keselamatan di KL. Beliau turut serta kerana meraikan konvo anak perempuan beliau. Dari perbualan beliau dengan saya bahawa beliau baru saja bersara dari perkhidmatan dan beliau menanyakan saya berapa lama dah bersara, saya katakan padanya bahawa saya bersara baru saja iaitu 6 tahun. Dia terkejut kerana masa berlalu terlalu pantas.
Bergambar dengan Tomsol dan isteri

Untuk itu bagi kenangan saya didalam konvo tersebut saya bergambar dengan penerima diploma menantu perempuan saya dan encik Tomsol seperti dalam gambar yang diabadikan.

No comments: