Friday, September 03, 2021

MESYUARAT ALK KOPERASI SECARA ALAM MAYA (ON LINE)

Hari ini, 1 September 2021 jam 9.30 pagi, pertama kalinya pengurusan koperasi mengadakan mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi (ALK) secara alam maya. Mesyuarat hari ini diadakan kerana hampir setahun koperasi tidak dapat mengadakan mesyuarat ALK  termasuk Mesyuarat Agung Tahunan bagi penggal 2019/2020 yang telah ditetapkan pada 24 Oktober 2020 tahun lepas terpaksa dibatalkan ini disebabkan pandemik covid 19, dimana kerajaan telah menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang melarang merentas daerah dan negeri sehingga kini. 

Setelah sekian lama tidak mengadakan mesyuarat, setiausaha mengambil inisiatif untuk mengadakan perjumpaan atas talian walaupun pada mulanya kurang mendapat sambutan kerana semua ALK adalah otai dan veteren yang mana IT mereka tidak berapa mahir seperti anak muda. 

Walaupun demikian, mesyuarat tersebut adalah berjaya dan beberapa pandangan dan cadangan telah dikemukakan ekoran dari mesyuarat sebelum pendemik dikuatkuasakan pada tahun lepas. 

Sebelum mengakhiri mesyuarat ini, semua ALK mengucapkan takziah kepada En Idlan atas kembali ayahanda beliau kerahmatullah  iaitu Allahyarham Dato' Mohd Noor Zakaria pada 10 Ogos 2021 (bersamaan 1 Muharam 1443) dan mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan bersama golongan orang salehin dan beriman.

Mesyuarat di tamatkan pada jam 11.00 pagi dan akan diadakan pada masa yang akan ditetapkan kemudian.

Mohamad Maon, setiausaha.

Tuesday, August 24, 2021

Pengerusi Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB Meninggal Dunia

Dengan sedihnya dimaklumkan bahawa YBhg Dato' Hj Mohd Noor bin Zakaria telah kembali ke Rahmatullah pada 10 Ogos 2021 bersamaan 1 Muharram 1443 H pada jam 9.55 petang. Allahyarham merupakan Pengerusi Koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB.

Allahyarham Dato' Mohd. Noor diberitakan oleh anaknya Mohd. Khairul Idlan, bapanya pada mula disyaki demam denggi dan dimasukan ke hospital di tempatkan diwad ICU dalam keadaan kritikal, tetapi beliau menyatakan bahawa bapanya bertambah kritikal kerana penyakit tersebut telah menyerang paru-parunya. 

Sebagaimana yang telah diberitahu pada saya oleh anaknya, bapanya adalah bebas dari penyakit Covid 19, dan Allahyarham bapamya disolat di Masjid Sultan Sulaiman Klang dan dikebumikan bersebelahan Masjid Kota Raja Klang. 

Allahyarham semasa hayatnya banyak membantu dan bersama untuk menjayakan bagi penubuhan koperasi ini supaya ianya berjaya untuk menjadikan koperasi yang berdaya maju, Beliau membenarkan pejabat beliau di Jalan Bukit Jati 5 Klang, setiap kali digunakan oleh koperasi bagi mengadakan mesyuarat ALK. Selain dari itu beliau juga kerap menaja beberapa perjumpaan dengan ALK dan juga mesyuarat agung tahunan koperasi diadakan.

Saya adalah salah seorang rakan beliau yang paling rapat, kami bersama-sama menunaikan fardhu haji ke tanah suci Mekah pada tahun 2018 dan kami selalu bersamanya termasuk Sdra Basharuddin Abdullah mengunjungi dan menziarahi rakan-rakan pesara yang kurang sihat diantaranya Tuan Hj. Sufian Ibrahim di Seremban 2, Allahyarham Kamarulzaman Ahmad yang terlantar sakit di Hospital Seremban, menziarahi Tuan Hj. Kamaruddin Imas di Shah Alam dan Tuan Hj. Ahmad Rusli Ibrahim di Bentong, Pahang.

Dengan berpergian Allahyarham saya rasa satu kehilangan amat besar kepada koperasi dan berasa sedih kerana Allahyarham banyak memberikan inspirasi dalam menjayakan koperasi. Di akhir kalam, saya titipkan doa, semoga Allah menempatkan roh beliau bersama dengan para golongan yang beriman. Amin ya Rabbal Alamin.

 

Kenangan bersama ketika Allahyarham mengadakan majlis kenduri walimahtulurus anak perempuan beliau.

Monday, July 19, 2021

Hari Ini Umat Islam Sambut Aidil Adha 1442

Pada hari ini selasa 20 Julai 2021 (Hijrah 1442) umat Islam sambut Aidil Adha dalam keadaan yang masih dilanda Covid 19. Walaubagaimana pun kita tetap bersyukur kepada Allah swt kerana kita dapat menunaikan solat sunat aidil adha kalau tidak dimasjid dan disurau, kita tetap dapat menunaikan solat sunat tersebut dirumah. Alhamdulillah.

Teks khutbah berkenaan telah diberikan oleh Jawatankuasa surau melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). 

Sebagaimana yang kita ketahui surau dan masjid dalam daerah Klang, pada tahun ini tidak dibenarkan melakukan ibadah korban kerana untuk menjaga Standing Operating procedure (SOP), Namun begitu, korban tetap kita laksanakan, pada tahun ini saya sekeluarga membuat korban seekor lembu di tempat pengajian pondok di Lancang Pahang. Moga-moga korban kami diterima oleh Allah Subhana Wataala.

Pada kali ini, pihak kerajaan  masih tidak membenarkan membuat perjalanan rentas sempadan memandang penularan covid 19 masih ditahap 10K. Sekian, Mohamad Maon

Wednesday, May 12, 2021

Ramadhan Pergi dan Syawal Menjelma

 Assalamualaikum wbt

Hari ini pada 12 Mei 2021 (rabu) adalah hari terakhir kita berada didalam bulan Ramadhan, bererti kita, insya' Allah telah menunaikan puasa selama 30 hari, sedih rasanya kita hendak meninggalkan Ramadhan, kerana Ramadhan banyak mengajar kita erti kehidupan, erti kesabaran, erti keinsafan, erti tawaduk, erti muhasabah dan banyak lagi pengertian-pengertian yang lain, semuanya itu membawa kepada tawakkal dan taqarrub kepada Allah swt untuk melaksanakan perintahNya. Walaubagaimanapun telah menjadi lumrah alam, setiap yang bermula akan pasti ada penghujungnya, samalah juga dengan Ramadhan, Ramadhan yang datang dan Ramadhan juga akan pergi.

Insya' Allah, jika diizinkan dan dipanjangkan usia, harapan kita dapat bertemu di Ramadhan yang akan datang. Bagi kedatangan bulan syawal, kita menyambut dengan penuh syahdu dan bersama takbir memuji dan membesarkan dan mengagungkan Allah yang memberikan kurnia dan rahmatnya yang melimpah ruah. Syukur Alhamdullah.

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Idilfitri kepada kaum muslimin dan muslimat,maaf,  zahir batin.

Monday, April 12, 2021

Selamat Datang Ramadan

1.   Pada hari ini iaitu 13 April 2021 (selasa) Umat Islam di Malaysia bermula menjalani ibadah puasa yang dituntut didalam Islam. Ibadah Puasa adalah salah rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat lima waktu sehari semalam. 

2.   Apakah yang terkandung didalam Rukun Islam. Rukun Islam mengandungi 5 rukun adalah:-

i.     Mengucap dua kalimah syahadah - melahirkan Ikrar

ii.    Mendirikan solat lima waktu  - melahirkan Disiplin

iii.   Puasa dalam bulan ramadan - melahirkan Amanah

iv.   Zakat fitrah - melahirkan sikap tolong menolong dan bantu          membantu

v.    Menunaikan haji ke Baitulah - melahirkan pengorbanan


Antara Keistimewaan Bulan Ramadhan

  • Ada Malam Lailatul Qadar
  • Bulan  diturunkannya  AL- Qur'an
  • Bulan dikabulkan doa-doa
  • Setiap amal perbuatan akan digandakan nilainya
  • Bulan yang penuh barakah
  • Pintu terbaik untuk  bersedekah

Akhir kata diucapkan selamat berpuasa, semoga setiap puasa kita diterima oleh Allah swt. Insha' Allah

Saturday, April 03, 2021

Perjumpaan dengan pihak SKM


1. Pada 31 Mac 2021 (hari Rabu) saya ke Pejabat SKM di Kuala Lumpur mewakili koperasi Pekerja dan Pesara Keselamatan TNB bersama Dato' Mohd Noor bin Zakaria Pengerusi mengadakan perjumpaan dengan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Puan Rashidah Abas Juruaudit SKM dan Puan Awein yang bertanggungjawab bagi koperasi kami. 


Puan Awein (kiri) dan Puan Rashidah Abas (kanan)

2. Dalam perjumpaan tersebut pihak kami memberitahu bahawa koperasi tidak dapat mengadakan mesyuarat agong sebagai yang dijadualkan iaitu pada akhir bulan Oktober 2020 disebabkan negara dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan penyakit pandemik Covid 19.

3. Oleh kerana koperasi tidak boleh mengadakan mesyuarat agong atas sebab-sebab di atas, SKM membenarkan penundaan mesyuarat agong berkenaan, maka mesyuarat tersebut boleh diadakan serentak dengan mesyuarat yang akan datang bersama dengan membentangkan penyata  kewangan bagi 2 tahun iaitu tahun kewangan 2019/2020 dan tahun kewangan 2020/2021.

4. Koperasi akan menentukan mesyuarat agung berikutnya dapat diadakan pada bulan oktober 2021. Insha Allah.

Mohamad bin Maon, setiausaha

Tuesday, March 23, 2021

Koperasi Oh koperasi

Sehingga berita ini ditulis pada 23 Mac 2021, koperasi kami masih tidak boleh mengadakan mesyuarat agungnya, walaupun persiapan untuk tujuan tersebut telah diatur kerana perintah SOP kerajaan tidak membenarkan rentas daerah dan negeri, maka mesyuarat agung tersebut tidak dapat dijayakan.

Walaupun mesyuarat agung berkenaan telah siap diatur pada akhir Oktober tahun 2020. Bagi tujuan itu, kita berharap supaya SOP  dan kerajaan dapat menarik balik perintah berkenaan bagi rakyat berpeluang menggerakan akiviti mereka, sekian 

Sunday, January 17, 2021

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOPERASI KE 12 DITANGGUHKAN KERANA PANDEMIK COVID 19

Pada mesyuarat ALK yang diadakan didalam bulan Sept tahun 2020 telah menetapkan mesyuarat agung tahunan koperasi akan dilaksanakan pada akhir Oktober 2020 itu keputusan yang telah diambil, tetapi malangnya keadaan tidak membenarkan kerana kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hujung Disember 2020 untuk membendung penyakit Covid 19. 

Namun PKP tersebut tidak dapat mengurangkan jangkitan tersebut dan semakin bertambah ramai, maka kerajaan mengumumkan PKP di tunda kepada tarikh sehingga 26 Januari 2021. Walaubagaimanapun bagi tujuan di atas, pihak koperasi telah memohon kepada pihak SKM untuk menangguh mesyuarat tersebut kepada suatu tarikh yang belum ditetapkan sehingga keadaan bertambah reda (kurang). 

Untuk makluman, SKM ada mencadangkan bahawa mesyuarat tersebut boleh diadakan secara maya (dalam talian), tetapi pihak koperasi berpendapat, kebanyakan ahli-ahli koperasi masih tidak memahami untuk melaksanakan secara demikian kerana semuanya ahli koperasi terdiri dari golongan warga emas.

Bagi tujuan di atas, ALK menunggu keputusan dari penamatnya PKP untuk mengadakan mesyuarat agung berkenaan. sekian terima kasih

Setiausaha - mohamad maon