Friday, July 21, 2006

Sedutan Ucapan Pengerusi Pengelola Sdr. Mohamad Maon

Terlebih dahulu saya mengalu-alukan kehadiran YBhg. Dato, tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis reunion pesara-pesara keselamatan di kondominium TNB Port Dickson Negeri Sembilan.

Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnianya, perancangan untuk mengadakan reunion pertama kali bagi pesara-pesara keselamatan dapat dijayakan.

Walaupun kehadirannya tidak seramai yang dijangka tetapi ia memberikan satu komitmen betapa pentingnya pertemuan sebegini rupa dapat diadakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian. Pada mulanya, kita mendapat ‘feedback’ yang sungguh menggalakkan, tetapi keadaan yang tidak membenarkan mereka-mereka ini hadir disebabkan beberapa faktor iaitu keuzuran, urusan peribadi, persekolahan anak, menjaga cucu dan sebagainya.

Untuk makluman hadirin, perancangan mengadakan reunion ini adalah ilham daripada Tuan Hj. Sufian bersama saya. Ianya juga dicetuskan oleh rakan-rakan sepersaraan dengan saya dimana mereka meminta saya menguruskan supaya anggota keselamatan yang bersara dapat dikumpulkan dan ditemukan semula.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, ramai diantara sahabat-sahabat kita yang sama-sama bertugas satu ketika dulu, kini sudah tiada bersama kita lagi, mereka terlebih dahulu telah kembali ke Rahmatullah. Samaada mereka yang kembali ke Rahmatullah semasa dalam perkhidmatan atau selepas bersara. Ada juga diantara sahabat kita yang selepas sahaja bersara, kesihatannya mula terganggu. Bagi mereka-mereka ini, saya berdoa semoga mereka beroleh kesihatan dan kesejahteraan sehingga akhir hayat. Insya’Allah.

Dato’ tuan-tuan dan puan-puan,

Mengimbas kembali kenangan lalu, saya bersama tuan-tuan sesungguhnya merasa bertuah kerana kita menjadi sebahagian daripada warga kerja sebuah syarikat utiliti yang terunggul di negara kita iaitu LLN dan kemudian menjadi TNB. Walaupun bidang dan profeyen kita berbeza dengan warga kerja yang lain, tetapi profesyen keselamatan adalah satu profesyen yang mencabar dan menguji ketahanan fizikal dan mental kita. Kerana kita adalah pengamal dan melaksanakan undang-undang bagi pihak pengurusan. Sebab itulah kita dikatakan sebagai ‘front liner’ (barisan hadapan).

Sepanjang perkhidmatan, kita telah berkhidmat dan mencurah bakti kepada syarikat, bangsa, ugama dan negara. Perkhidmatan kita adalah sebagai lambang keteguhan semangat dan kesetiaan kita kepada syarikat. Dalam tempoh tersebut kita telah bersama-sama dan melalui berbagai-bagai pengalaman pahit-manis, suka-duka dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Oleh itu, biarlah kenangan dan pengalaman tersebut menjadikan kita lebih matang untuk mengharungi kehidupan di alam persaraan.

YBhg. Dato, tuan-tuan dan puan-puan

Berbalik kepada reunion, saya berharap pertemuan ini akan memberikan manfaat kepada kita semua, kerana sekiranya ada dikalangan kita yang ingin mengadakan walimahtul urus anak mereka, sila menghubungi kita dan kita bersama-sama akan meraikannya. Begitu juga, jika ada diantaranya yang mendapat musibah, kita bersama-sama untuk menziarahi. Jadi, ini bermakna kita akan memberi perhatian kepada warga pesara, itu pun jika maklumat yang dapat kita terima.


Saya berharap reunion ini adalah menjadi satu titik permulaan untuk kita mengadakan perjumpaan yang berterusan dimasa-masa akan datang kerana perjumpaan seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim kita yang sedia terjalin dapat dikekalkan, Insya’Allah.

No comments: